Belanjawan 2023 diharap dapat merapatkan jurang pembangunan tiga wilayah - Nizam

Mirlen Axtius
Februari 25, 2023 22:01 MYT
Nizam berkata, suntikan khas secara terus sebanyak RM6.5 bilion dari RM388.1 bilion bajet tersebut berjaya menunjukkan peningkatan lebih 3 peratus berbanding tahun lalu. - Astro AWANI
KOTA KINABALU: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan mengharapkan Belanjawan 2023 yang dibentang semalam mampu merapatkan jurang pembangunan antara tiga wilayah, iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Nizam berkata, suntikan khas secara terus sebanyak RM6.5 bilion dari RM388.1 bilion bajet tersebut berjaya menunjukkan peningkatan lebih 3 peratus berbanding tahun lalu.
Peruntukan RM1 bilion bagi pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di sempadan dengan Indonesia termasuk Kalabakan turut memberi impak positif kepada ekonomi Sabah.
"Ia berikutan pembinaan bandar pentadbiran baru Indonesia di Nusantara.
"Rakyat, khususnya di kawasan pedalaman turut menyokong penuh cadangan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor untuk mempertimbangkan pembinaan CIQ yang sama di Bantul, Pensiangan," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Nizam yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) turut menyeru rakyat Sabah khususnya golongan petani, pekebun getah, belia, wanita serta usahawan kecil untuk mengambil peluang segala bentuk kemudahan bantuan, pinjaman mahupun pengurangan cukai seperti yang diumumkan.
Selain itu, Nizam juga berharap agar kerajaan pusat memperluaskan bantuan dan peluang kepada Sabah dalam usahanya.
"Termasuk membuka tanah sebagai kawasan pertanian untuk mempertingkatkan sumber makanan sekali gus membantu menurunkan kos bahan mentah makanan kita," katanya lagi.
#Belanjawan 2023 #Nizam Abu Bakar Titingan #jurang pembangunan #suntikan khas
;