Belanjawan 2023 akan jana semula pasaran modal tempatan - MIDF
Bernama
Februari 25, 2023 10:45 MYT
Februari 25, 2023 10:45 MYT
KUALA LUMPUR: Cadangan cukai keuntungan modal ke atas pelupusan saham yang tidak tersenarai mampu menarik lebih banyak penyenaraian di bursa tempatan, khususnya, pada peringkat butiran, kata MIDF Research.
Selain itu, Suruhanjaya Sekuriti (SC) akan memudahkan lebih banyak pasaran menengah untuk instrumen pasaran swasta bagi meningkatkan mudah tunai selain membolehkan penemuan harga yang lebih baik.
"Malahan, penerbitan saham dwi-kelas akan dibenarkan bagi merangsang penyenaraian syarikat teknologi pertumbuhan tinggi tempatan.
"Pada pandangan kami, langkah-langkah ini boleh bertindak sebagai pemangkin yang akan membantu menjana semula pasaran modal tempatan," kata MIDF Research dalam satu kenyataan.
Terdahulu, ketika membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim, antara lain, mengumumkan bahawa kerajaan akan mengkaji pengenalan cukai keuntungan modal untuk pelupusan saham yang tidak disenaraikan oleh syarikat mulai tahun hadapan.
MIDF berkata Belanjawan 2023 dihamparkan dengan latar belakang pertumbuhan ekonomi global yang agak lembap berikutan tekanan inflasi, dasar monetari bank pusat yang lebih ketat di seluruh dunia termasuk krisis geopolitik yang sedang berterusan.
Oleh itu, belanjawan berkenaan dibentangkan semula bagi menangani isu-isu kos sara hidup, sambil mereformasi ekonomi Malaysia untuk pertumbuhan yang lebih inklusif termasuk mengukuhkan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) negara.
MIDF Research berpendapat pertumbuhan ekonomi Malaysia sedang kembali normal dengan ketiadaan sebarang kesan asas, dan untuk 2023, firma penyelidikan itu mengekalkan jangkaan pertumbuhan 4.2 peratus.
Mengulas lebih lanjut mengenai belanjawan itu, Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Industrial Development Finance Bhd (MIDF) Datuk Charon Wardini Mokhzani berkata inisiatif korporat yang lebih besar seperti meningkatkan fasiliti menjalankan perniagaan, mengurangkan birokrasi serta lanjutan Elaun Cukai Pelaburan Hijau dan Program Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau sehingga 2025 akan menjadikan Malaysia lebih kompetitif sebagai destinasi perniagaan serta pelaburan, tarikan tambahan ini adalah bersesuaian dengan kedudukannya sebagai peneraju pembangunan kelestarian di rantau ini.
"Selaras dengan konsep Malaysia Madani, MIDF teruja untuk memainkan peranan dalam memaksimumkan hasil termasuk pulangan ekonomi serta sosial melalui inisiatif yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2023 selain menjana nilai yang berkekalan untuk pihak berkepentingan kami," tambahnya lagi.
-- BERNAMA