Belanjawan 2021 tidak boleh ditangguhkan - Pakar ekonomi

Hasimi Muhamad
Oktober 28, 2020 16:25 MYT
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ia bagi meringankan beban rakyat sekiranya ekonomi kembali merosot khususnya di kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Belanjawan 2021 tidak boleh ditangguhkan, sebaliknya perlu diluluskan secepat mungkin bagi memastikan kestabilan proses pemulihan ekonomi susulan pandemik COVID-19.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ia bagi meringankan beban rakyat sekiranya ekonomi kembali merosot khususnya di kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan.
"Jadi, peranan Belanjawan 2021 ini perlu dilakukan secepat mungkin, kalau boleh tiada halangan supaya bantuan kerajaan itu dapat disalurkan kepada pihak yang betul-betul memerlukan terutamanya bagi mereka yang kehilangan kerja, peniaga yang masih terkesan dan sebagainya.
"Cuma yang kita risau adalah dari sudut teknikal, perundangan dan sebagainya. Kalau sudut ekonomi, peranan kerajaan dalam menentukan Belanjawan 2021 adalah sangat signifkan," katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI menerusi Skype, pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau berkata sekiranya Belanjawan 2021 gagal dibentangkan, ia akan memberi impak kepada perbelanjaan pihak swasta dan isi rumah.
Situasi itu sekali gus akan memberikan kesan serius kepada kelembapan ekonomi negara, tambahnya.
BACA: Agong mahu ahli politik hormat titah Baginda, beri sokongan padu pada Belanjawan 2021
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar
ahli-ahli Dewan Rakyat memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 yang akan dibentang November ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Tuanku bertitah bahawa sokongan terhadap Belanjawan itu penting demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat, serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.
#Yang di-Pertuan Agong #Dewan Rakyat #pandemik #COVID-19 #Belanjawan 2021 #Perikatan Nasional #Muhyiddin Yassin #ekonomi #Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid
;