Belanjawan 2021: PM digesa dengar pendapat pembangkang - Khalid Samad
Nursyazwani Saiful Sham
Oktober 28, 2020 18:56 MYT
Oktober 28, 2020 18:56 MYT
KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disaran untuk berbincang bersama semua ketua parti pembangkang bagi mendapatkan pandangan berhubung Belanjawan 2021 sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad, berkata ia bagi mengelakkan masalah apabila ia dibentangkan kelak.
“Kita semua faham Belanjawan 2021 perlu diluluskan, tetapi kita mengharapkan kerajaan juga faham bahawa untuk Belanjawan 2021 itu diluluskan... mereka perlu engage dan berbahas dengan semua pihak.
“Saya cadangkan sebelum akhir bulan ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin engage dengan semua ketua parti pembangkang untuk terus mendapatkan input supaya banyak isu yang penting bagi pihak kami boleh diambil kira.
“Mereka (kerajaan) tidak perlu tunggu hari perbahasan untuk membentangkan perkara itu (Belanjawan 2021) untuk adjust dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Shah Alam itu turut memberi bayangan Amanah akan menyokong Belanjawan 2021 seperti yang dititah Yang di-Pertuan Agong.
Namun, menurutnya sokongan hanya akan diberikan jika pendapat pembangkan berhubung Belanjawan 2021 diberi perhatian.
Jelas Khalid, itu adalah tanggungjawab yang perlu digalas oleh semua ahli Parlimen dan bukan menjatuhkan kerajaan sedia ada.
“Semestinya kita tidak membuat tindakan yang bersifat politik semata-mata untuk menjatuhkan kerajaan atau nak halang pembentangan Belanjawan.
“Ini kerana kita bertanggungjawab dan kita mengharapkan Tan Sri Muhyiddin berubah dan tunjuk sikap
bertanggungjawab.
“Belanjawan perlu diluluskan untuk kepentingan ramai dan dua-dua pihak mesti berbincang dan menghormati serta mengambil kira kepentingan seperti yang dititahkan Seri Paduka Baginda iaitu memulihkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” tegasnya.
Belanjawan 2021 akan dibentangkan pada November 6, 2020.
#Parti Amanah Negara
#PKR
#Dewan Rakyat
#Yang di-Pertuan Agong
#Khalid Abdul Samad
#Amanah
#Tan Sri Muhyiddin Yassin
#Belanjawan 2021
#Politik Malaysia