Belanjawan 2021: Pengeluaran Akaun 1 KWSP mampu beri risiko selepas persaraan
Hilmi Malik
November 27, 2020 18:38 MYT
November 27, 2020 18:38 MYT
Kuala Lumpur : Individu yang tidak terkesan akibat penularan pandemik COVID-19 tidak digalakkan untuk membuat pengeluaran menerusi caruman Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Ketua Ekonomi Pusat Penyelidikan Pasaran Buruh Masa Hadapan, Perkeso, Prof Madya Mohd Yusof Saari berpendapat, tindakan itu merupakan risiko yang terpaksa didepani menjelang tempoh akan datang.
“Sebaik-baiknya wang di Akaun 1 jangan digunakan kerana perkara itu mampu mempengaruhi tempoh jangka masa panjang khususnya selepas usia persaraan.
“Kita tidak mahu selepas persaraan, individu perlu kembali bekerja keras seperti usia muda dahulu hanya untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Menurutnya, sekiranya terdapat keperluan mendesak untuk melakukan pengeluaran maka perkara itu tidak seharusnya dalam satu tempoh berpanjangan.
Beliau yang menyifatkan KWSP sebagai pertahanan terakhir kewangan bagi individu menjelaskan, melihat kepada faktor jangka hayat di kalangan rakyat Malaysia, sebahagian besar mereka akan mencecah usia 65 tahun bagi tempoh lima hingga enam tahun akan datang sekali gus mewujudkan kebimbangan.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Khamis telah mengumumkan program i-Sinar KWSP akan diperluaskan kepada semua ahli yang terjejas pendapatan, dengan lebih lapan juta pencarum akan mendapat manfaat dengan had pengeluaran sehingga RM10,000.
#KWSP
#Belanjawan 2021
#Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
#Akaun 1 KWSP
#ahli KWSP
#pengeluaran akaun 1
#i-Sinar KWSP