Belanjawan 2021: Lebih banyak suntikan dana, lindungi dan cipta peluang pekerjaan
Bernama
Oktober 20, 2020 16:23 MYT
Oktober 20, 2020 16:23 MYT
KUALA LUMPUR: Selepas pertumbuhan yang rendah pada suku kedua, perniagaan dan isi rumah kini berdepan pula dengan peningkatan tinggi kes pandemik COVID-19 yang membawa kepada sekatan pergerakan, menjadikan Belanjawan 2021 suatu yang sukar dan amat penting.
Kerajaan dijangka meneruskan inisiatif rangsangan dan bantuan pandemik, bakal menjadikannya belanjawan pengembangan untuk mengekalkan proses pemulihan, walaupun perlahan, ketika negara menghadapi keadaan tidak menentu akibat daripada gelombang ketiga jangkitan COVID-19.
"Impak ekonomi dan kesihatan tidak seimbang akibat daripada pandemik itu ke atas isi rumah berpendapatan rendah perlu ditangani dengan langkah fiskal yang berani," kata Profesor Ekonomi Kajian Perniagaan Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng.
Langkah-langkah belanjawan perlu memasukkan sokongan pendapatan yang lebih besar serta, langkah-langkah padu untuk melindungi pekerjaan, mewujudkan pekerjaan baharu dan menyediakan program kemahiran semula bagi menambah baik mata pencarian penduduk miskin di kawasan luar bandar dan bandar, katanya kepada Bernama dalam temu bual menerusi emel.
UOB Global Economics and Markets Research dalam previu belanjawannya yang turut sependapat dengan Yeah berkata Belanjawan 2021 perlu menumpukan terutamanya untuk menjaga kepentingan rakyat, memacu ekonomi, menyediakan kehidupan yang mampan dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam.
Ahli Ekonomi Kanannya, Julia Goh dan Pakar Ekonomi Loke Siew Ting berkata langkah-langkah rangsangan pada 2020 (termasuk subsidi upah, bantuan tunai bagi golongan B40 dan M40, pengecualian cukai jualan automotif dan langkah-langkah berkaitan hartanah) mungkin dilanjut ke 2021.
Ini akan disokong oleh langkah-langkah baharu bagi meningkatkan penggunaan, merangsang pelaburan, mempercepat pendigitalan, meningkatkan penciptaan peluang pekerjaan dan upah dan memelihara alam sekitar, katanya.
Mereka juga menjangka Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasarnya dalam tempoh terdekat ini.
Dasar Pengembangan Fiskal
Belanjawan pengembangan merujuk apabila kerajaan memperluas bekalan wang dalam ekonomi sama ada dengan meningkatkan perbelanjaan atau melaksanakan potongan cukai untuk menyediakan lebih banyak wang kepada rakyat dan perniagaan untuk berbelanja.
Dengan memberikan lebih banyak wang kepada rakyat khususnya kumpulan B40 dan M40, ia mampu mendorong kuasa beli mereka dan pada masa yang sama berupaya mengurangkan pengangguran, seterusnya merangsang perbelanjaan pengguna dan meningkatkan ekonomi.
Sebagai contoh, di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump di Amerika Syarikat, ia menggunakan dasar pengembangan menerusi Akta Potongan Cukai dan Pekerjaan 2017 di samping turut meningkatkan perbelanjaan budi bicara terutamanya untuk pertahanan.
Ahli ekonomi bersepakat kelebihan dasar pengembangan fiskal akan berjalan lancar sekiranya dilaksanakan dengan betul.
Langkah pengurangan cukai, antara lain akan menyediakan wang yang banyak kepada pengguna walaupun golongan berpendapatan tinggi lebih cenderung menggunakan pengurangan cukai mereka untuk tujuan melabur atau menyimpan yang tidak membantu merancakkan ekonomi.
Apa yang penting, dasar pengembangan fiskal akan membantu mengekalkan keyakinan pengguna dan perniagaan yang kritikal khususnya kepada Malaysia sebagai sebuah ekonomi terbuka dan pelbagai.
Keburukannya, pengurangan cukai akan mengurangkan perolehan kerajaan dan mewujudkan defisit belanjawan serta membawa kepada penciptaan hutang.
Berikutan jangkaan defisit fiskal yang lebih tinggi pada tahun ini di tengah-tengah suntikan fiskal kepada ekonomi, Malaysia baru-baru ini meningkatkan had siling hutang berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar kepada 60 peratus daripada 55 peratus.
Negara akan mempunyai defisit fiskal sebanyak 5.8-6.0 peratus seperti yang diunjur, berikutan suntikan langkah fiskal.
Sejak bermulanya pandemik, Putrajaya memperkenalkan pakej rangsangan bernilai RM305 bilion untuk membantu rakyat dan perniagaan menangani impak COVID-19.
Di bawah kerajaan terdahulu, Belanjawan 2020 menyaksikan peruntukan perbelanjaan sebanyak RM297 bilion, tidak termasuk RM2 bilion untuk luar jangka, berbanding RM277.5 bilion pada 2019.
Ia terdiri daripada perbelanjaan mengurus sebanyak RM241 bilion dan perbelanjaan pembangunan RM56 bilion.
Sistem Kewangan Kukuh Dorong Tindak Balas Segera Dalam Tempoh Kritikal
Timbalan Gabenor BNM Jessica Chew berkata sistem kewangan Malaysia hari ini membolehkan pihak berkuasa memberi respons dalam tempoh semasa yang kritikal dan terus menyokong ekonomi, sama ada perniagaan atau isi rumah.
Setakat akhir Jun 2020, jumlah nisbah modal sistem perbankan mencecah 18.3 peratus dengan agregat lebihan penampan modal sebanyak RM122 bilion manakala nisbah perlindungan mudah tunai sebanyak 149.2 peratus.
Sistem perbankan semasa lebih kukuh berbanding semasa Krisis Kewangan Asia (AFC) pada 1997/98, dengan nisbah modal sebanyak 18 peratus (AFC - 10 peratus), berikutan standard pinjaman yang lebih kukuh, katanya dalam taklimat secara maya baru-baru ini, bersempena laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan -- Separuh Pertama 2020 yang dikeluarkan minggu lepas.
Beliau berkata pasaran bon Malaysia juga lebih maju berbanding semasa tempoh krisis kewangan Asia, justeru, tahap tumpuan kebergantungan ekonomi terhadap pembiayaan dalam sistem perbankan telah berkurangan.
BSH Hanya Langkah Jangka Pendek
Ketua ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpendapat Bantuan Sara Hidup (BSH) yang dilaksanakan kerajaan adalah langkah jangka pendek dan ia bukan bertujuan untuk penyelesaian menyeluruh kepada masalah semasa yang dihadapi oleh kumpulan berpendapatan rendah.
"Untuk peningkatan mobiliti sosial, pendidikan sangat penting. Terdapat juga isu mengenai jurang digital, keusahawanan dan kesihatan. Jadi seseorang harus melihat secara holistik berkenaan dengan langkah-langkah kerajaan," jelasnya.
Beliau berkata langkah-langkah tertentu akan mendapat perhatian lebih besar dan keadaan itu dapat mengatasi kewujudan tindakan lain yang sama pentingnya.
Oleh itu, peranan komunikasi yang berkesan juga merupakan kunci untuk menyebarkan maklumat yang tepat kepada kumpulan yang disasarkan.
Mohd Afzanizam juga menjangkakan pekerjaan masih akan berisiko dengan gelombang ketiga pandemik manakala paras hutang berkemungkinan meningkat lebih tinggi daripada 60 peratus yang disemak semula baru-baru ini.
"Tahap hutang kita biasanya tinggi pada 1980-an tetapi itu adalah era yang berbeza. Kini ekonomi kita lebih sihat disokong oleh pasaran bon yang kukuh, pelabur institusi seperti dana pencen, insurans, bank dan pengurus aset untuk mengimbangi pasaran," katanya.
Sehubungan itu, Mohd Afzanizam berkata kerajaan perlu melaksanakan pendekatan lebih fleksibel untuk menangani krisis kesihatan, dan menyifatkan bahawa negara mungkin menuju ke arah pemulihan berbentuk K (pemulihan), yang merujuk kepada golongan berpendapatan rendah dan pekerja kurang mahir yang paling terjejas dan akan mengambil masa yang lama untuk pulih.
"Saya fikir ia akan memburukkan lagi jurang besar antara pendapatan dan kekayaan, yang mungkin kelihatan seperti 'bentuk K'.
Bentuk K - Takrifan Baharu Untuk Ahli Ekonomi, Politik
Menurut calon Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden : "K bermaksud mereka yang di kedudukan atas atau mewah yang melihat kenaikan manakala golongan pertengahan dan bawahan sebaliknya menyaksikan keadaan yang semakin menurun dan bertambah buruk."
Pemulihan bentuk K ini berlaku apabila ekonomi itu pulih secara tidak sekata atau sejajar, malah terdapat trajektori berbeza dari sudut pandang dua kelompok masyarakat tersebut.
Singapura yang juga negara jiran Malaysia, dilaporkan mencatat pemulihan bentuk K ini susulan peningkatan pada suku ketiganya yang didahului oleh segmen teknologi maklumat (IT), pembuatan dan perkhidmatan kewangan manakala sektor lain berkemungkinan besar terus bergelut dengan impak yang berlanjutan.
Keadaan sama turut merujuk kegiatan ekonomi Malaysia bagi suku ketiga yang diunjurkan meningkat, demikian menurut Jabatan Perangkaan.
Ini terutamanya dipacu oleh sektor pembuatan, automotif, IT, kewangan dan penjagaan kesihatan manakala yang berkaitan pelancongan diunjur mengalami pemulihan yang lebih perlahan.
Malaysia juga dijangkakan mencatat pertumbuhan lebih baik pada tahun depan yang dianggarkan 5.5 peratus hingga 8.0 peratus pada 2021 daripada unjuran -3.5 peratus hingga -5.5 peratus bagi 2020.
Kadar pengangguran negara susut kepada 4.7 peratus pada Julai iaitu lebih rendah berbanding 4.9 peratus pada Jun dan 5.3 peratus pada Mei.
Walaupun angka-angka ini dilihat sebagai positif, ia bukanlah sesuatu yang boleh diambil kesempatan atau dilihat sebagai menjaminkan.
Sudah tiba masanya untuk kerajaan agar lebih konsisten dalam menangani perkara penting seperti melindungi pekerjaan, membentuk lebih banyk peluang pekerjaan selain melindungi kesejahteraan rakyat.
-- BERNAMA
#Belanjawan 2021 Kos Sara Hidup
#isi rumah
#gelombang ketiga COVID-19
#Yeah Kim Leng
#UOB Global Economics and Markets Research
#golongan B40
#golongan M40
#impak ekonomi
#perkhidmatan awam