Belanjawan 2021: Kerajaan dijangka kurangkan perbelanjaan - Ahli ekonomi
Bernama
Oktober 6, 2020 04:46 MYT
Oktober 6, 2020 04:46 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan dijangka akan mengurangkan perbelanjaan dalam Belanjawan 2021 kerana pendapatan berkurangan pada dua suku terakhir, kata seorang ahli ekonomi.
Pakar ekonomi dari Universiti Malaya, Prof Dr Rajah Rasiah berkata kemerosotan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kebanyakannya disebabkan kepada sekatan perdagangan komoditi terhadap ekonomi Malaysia yang dipacu oleh eksport.
"Saya berharap kerajaan akan merangka belanjawan yang mampan kerana ia penting untuk memastikan ekonomi Malaysia terus bertahan dan kembali berkembang maju setelah pandemik COVID-19 berakhir.
"Jika anda hanya berpegang pada langkah penjimatan dalam belanjawan, ia mungkin tidak bergerak dalam landasan yang betul untuk pertumbuhan ekonomi," katanya kepada semasa menjadi tetamu dalam rancangan The Nation yang disiarkan Bernama TV yang membincangkan tajuk 'Exploring Budget 2021'.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dijadualkan membentangkan belanjawan pada 6 November depan. Ia akan menjadi belanjawan pertama di bawah kerajaan Perikatan Nasional sejak mengambil alih kuasa pada bulan Mac lepas.
Sebanyak RM297 bilion atau 18.4 peratus daripada KDNK diperuntukkan untuk Belanjawan 2020, sebanyak 81.1 peratus atau RM241 bilion adalah untuk perbelanjaan mengurus manakala baki RM56 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.
Untuk meningkatkan lagi belanjawan tahun itu, Rajah mencadangkan agar mencari jalan untuk mempromosikan barang dan perkhidmatan tempatan bagi memperluas bahagian pasaran domestiknya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PNB Research Institute Sdn Bhd, Intan Nadia Jalil, yang juga menjadi tetamu program itu berkata ketirisan dapat dicegah dengan menghentikan segala perbelanjaan kerajaan yang tidak cekap atau tidak berkesan.
"Mungkin sudah tiba masanya bagi kerajaan memberi perhatian terhadap beberapa insentif cukai korporat yang wujud selama beberapa dekad sekarang.
"Cara terbaik adalah melihat bagaimana ia dapat diselaraskan menjadi lebih efektif dan efisien untuk ekonomi secara keseluruhan, memandangkan kerajaan dijangka melakukan penjimatan dalam belanjawan," katanya.
Intan Nadia berkata Belanjawan 2021 seharusnya menjadi belanjawan yang memulihkan dan membangunkan terutama kepada kumpulan sasaran seperti perusahaan kecil dan sederhana yang terjejas teruk oleh penularan COVID-19.
-- BERNAMA
#Belanjawan
#Belanjawan 2021
#KDNK
#PNB
#ekonomi
#kerajaan
#cukai
#menteri
#Malaysia
#pandemik
#ahli ekonomi
#Rajah Rasiah
#kemerosotan
#sekatan
#perdagangan
#eksport
#pasaran domestik
#Intan Nadia Jalil
#cukai korporat
#COVID-19