Belanjawan 2021: ECERDC syor tumpu pembangunan kawasan pulau Terengganu

Bernama
September 7, 2020 10:07 MYT
Pulau Perhentian, salah satu pulau tumpuan pelancong di Terengganu. - Gambar hiasan BERNAMA
KUALA TERENGGANU: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menyarankan Kementerian Kewangan turut memberi tumpuan terhadap pembangunan kawasan pulau di Terengganu menerusi Belanjawan 2021.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Baidzawi Che Mat berkata pembangunan dan peningkatan infrastruktur sokongan seperti jeti, laluan pejalan kaki, kemudahan awam dan pengurusan sisa pepejal akan membantu memulihara aset semula jadi pulau-pulau.
Katanya, ia sekali gus memacu industri tersebut kerana pelancongan domestik ke pulau-pulau dijangka meningkat pasca pandemik COVID-19 selain mengekang ancaman terhadap biodiversiti marin.
"Langkah-langkah lain termasuk peningkatan kemudahan pelancongan dan insentif kepada perniagaan tempatan perlu dipertimbangkan secara serius dan dilaksanakan untuk menarik lebih ramai pelancong," katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.
Perkara tersebut telah dinyatakan ECERDC menerusi sesi libat urus bagi mendapatkan maklum balas dalam penyediaan Belanjawan 2021 bersama Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada Ahad di Kampung Budaya, Muzium Negeri Terengganu, di sini, bersama penggiat industri pelancongan serta minyak, gas dan petrokimia (OGP).
Kenyataan tersebut turut menyatakan bahawa di bawah Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) 2.0, selain daripada penekanan terhadap pembangunan infrastruktur di destinasi pulau popular seperti Pulau Perhentian dan Pulau Lang Tengah, ECERDC juga telah membina mercu tanda ikonik Terengganu, iaitu jambatan angkat Pusat Bandar Kuala Terengganu (KTCC) serta tapak ekopelancongan di Kenyir dan Setiu Wetlands untuk menarik pelancong.
Selain itu, menerusi sesi libat urus itu, ECERDC turut mengusulkan inisiatif baharu untuk dipertimbangkan pihak kerajaan antaranya sektor huluan sebagai sebahagian daripada aktiviti ECER serta meningkat dan menambah penyertaan daripada syarikat tempatan dalam program vendor.
"ECERDC juga mencadangkan bidang fokus baharu, terutama bahan kimia khusus untuk mendorong pertumbuhan dan menarik pelaburan hiliran bernilai tambah yang tinggi. ECERDC akan terus bekerjasama dengan penggiat industri kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dalam memacu pelaburan dan pertumbuhan sosioekonomi di wilayah ini," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#pulau #terengganu #ECER #Tengku Zafrul Abdul Aziz #Belanjawan 2021 #ECERDC #penggiat industri #pelancongan #ekopelancongan #hiliran #Baidzawi Che Mat #kemudahan awam #Infrastruktur #COVID-19 #pembangunan #Belanjawan 2021 Pelancongan
;