Belanjawan 2021: Armada kemuka cadangan kepada PM

Astro Awani
November 4, 2020 21:19 MYT
Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menerusi perkongsian di Facebooknya berkata, beliau mewakili barisan pimpinan Armada pusat mengemukakan cadangan yang mengetengahkan kebajikan rakyat. Foto: Facebook/Wan Ahmad Fayhsal
KUALA LUMPUR: Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kemukakan beberapa cadangan bagi Belanjawan 2021 kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menerusi perkongsian di Facebooknya berkata, beliau mewakili barisan pimpinan Armada pusat mengemukakan cadangan yang mengetengahkan kebajikan rakyat.
“Armada mengiktiraf cabaran-cabaran baharu yang rakyat terpaksa hadapi khususnya oleh anak muda, lebih-lebih lagi apabila Malaysia dan banyak negara di seluruh dunia terpaksa kembali mengarahkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Seperti yang disebut oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz juga dalam wawancara minggu ini, belanjawan kali ini adalah ‘menongkah arus teori ekonomi.
“Di samping itu, antara bayangan yang telah diberikan juga ialah lebih tumpuan untuk membantu usahawan Bumiputera khususnya di kalangan belia yang terbabit dalam bidang perniagaan baharu. Apa yang pasti, cabaran kini yang di luar kebiasaan memerlukan pemikiran baharu dan keberanian untuk meneroka perkara yang mungkin sebelum ini kita anggap mustahi,” jelasnya.
Sumber Facebook WanFayhsal
Berikut adalah cadangan yang dikemukan Armada kepada Perdana Menteri:
1. Armada Bersatu Malaysia mengiktiraf krisis sosio-ekonomi akibat pandemik COVID-19 yang dihadapi oleh masyarakat di seluruh dunia, termasuklah rakyat Malaysia.
2. Krisis yang kian meruncing hari ini berpunca daripada isu-isu struktural dan sistemik yang berpotensi untuk menyebabkan masalah yang lebih parah, lebih-lebih lagi jika ancaman pandemik masih belum surut.
3. Hakikatnya juga, kerajaan termasuklah melalui syarikat-syarikat berkenaan kerajaan (GLC) telah menyumbang kepada situasi ini:
(i) Dasar-dasar sebelum ini yang lebih memberi manfaat kepada ‘ekonomi kewangan’ (financial economy) yang ditunjangi bank-bank dan institusi kewangan berbanding ‘ekonomi tampak’ (real economy) iaitu ekonomi yang dapat dirasai oleh rakyat.
(ii) Akibatnya, ekonomi kewangan kini mendominasi ekonomi tampak walhal tujuan asalnya adalah sebaliknya, iaitu ekonomi kewangan harus menyokong ekonomi tampak.
4. Sebagai contoh, jika diperhatikan keuntungan terkumpul seluruh bank dan institusi kewangan di Malaysia selama 5 tahun kebelakangan ini, jumlahnya adalah jauh melebihi keuntungan syarikat-syarikat bukan bank dan bukan institusi kewangan yang tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur.
5. Isu-isu seperti hutang isi rumah yang tinggi, pengangguran, lambakan hartanah mewah dan harga rumah yang terlampau mahal, dan perangkap pendapatan menengah hanyalah simptom bahawa ekonomi tampak terpaksa bekerja keras untuk menyokong ekonomi kewangan.
6. Dalam mencari penyelesaian kepada cabaran-cabaran ini, suatu pemikiran yang segar dan mengambil sisi pandang yang berbeza amatlah perlu untuk mengolah semua ekonomi secara struktural dan sistemik. Langkah-langkah berani yang boleh dikatakan ‘tidak ortodoks’ juga perlu dipertimbang secara serius.
7. Oleh itu, ARMADA ingin mencadangkan agar sebuah transformasi ekonomi dilaksanakan segera untuk kembali meletakkan ekonomi negara di landasan yang betul:
(i) Bermula sekarang, dasar-dasar kerajaan haruslah kembali menyokong dan memberikan keutamaan kepada ekonomi tampak. Manakala ekonomi kewangan haruslah dikembalikan fungsi utamanya untuk menyokong ekonomi tampak, bukan sebaliknya.
(ii) Hak untuk ‘mencipta wang’ harus ditumpukan di tangan rakyat melalui badan awam yang menjaga kepentingan mereka.
(iii) Polisi negara perlulah mengutamakan agenda nasional dan kebajikan rakyat, bukannya tertakluk kepada diktum dan piawai badan-badan antarabangsa seperti IMF, BASEL atau agensi-agensi penarafan hutang.
(iv) Meminda mandat GLC untuk menerapkan objektif-objektif sosial yakni meletakkan kesejahteraan awam sebagai teras, bukannya untung wang semata-mata. Perlembagaan GLC-GLC dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pihak pengurusan mereka juga perlu mencerminkan anjakan ini.
(v) Menyelesaikan isu bebanan hutang isirumah dan pembiayaan perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana (PKS atau SME), termasuklah dengan menghapuskan hutang (debt jubilee) secara bersasar.
(vi) Memperkasa mandat dan peranan bank-bank pembangunan dan skim-skim kredit mikro untuk menyokong PKS.
(vii) Merombak sistem cukai sedia ada untuk menggalakkan pelaburan tempatan yang membina kapasiti, teknologi baharu dan peluang pekerjaan secara bersasar.
(viii) Meminda struktur cukai pendapatan, cukai korporat dan cukai modal (wealth tax) untuk menjadikannya lebih progresif iaitu melegakan golongan B40 dan M40, meminta agar T5 memberikan sumbangan yang lebih besar.
(ix) Merombak kaedah percukaian cukai tidak langsung (SST, kastam, duti eksais dan lain-lain) dan mengharmonikannya dengan amalan terbaik di peringkat antarabangsa.
(x) Memperkenal sistem pembangunan modal insan yang baharu yang disokong dengan jaminan pekerjaan, pembelajaran sepanjang hayat dan sistem sokongan sosial yang menyeluruh.
#Belanjawan 2021 #ARMADA #Bersatu #Tan Sri Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #cadangan #Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal #Menteri Kewangan #Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz #perintah kawalan pergerakan #PKP
;