Belanjawan 2021: Ada juga bahagian untuk kami - Golongan M40

Fauzi Suhaimi
November 16, 2020 17:20 MYT
Menurut Hamyddin, pelbagai inisiatif diberikan kepada golongan sepertinya dan dapat dimanfaatkan termasuk program moratorium, subsidi upah dan potongan cukai. - Gambar fail
PETALING JAYA: Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat baru-baru ini bukan sahaja berbentuk menyeluruh, malah turut menyediakan ‘bahagian’ untuk golongan berpendapatan sederhana (M40).
Perkara itu jelas membuktikan keprihatinan kerajaan demi kelangsungan hidup rakyat tanpa mengira lapisan masyarakat selari dengan tema Belanjawan iaitu Teguh Kita, Menang Bersama.
Menurut Pengarah Double HH Global Services, Hamyddin Hamdan, 32, pelbagai inisiatif diperkenalkan Belanjawan 2021 kepada golongan usahawan sepertinya termasuk menerusi program moratorium, subsidi upah dan potongan cukai.
“Alhamdulillah... Banyak inisiatif diperkenalkan kerajaan dalam belanjawan tahun depan dan ia benar-benar beri manfaat kepada semua golongan termasuk M40.
“Antara inisiatif kepada golongan M40 termasuk program moratorium kerana ia benar-benar membantu kami bukan sahaja secara peribadi, malah kepada pengurusan syarikat yang saya miliki.
“Ini kerana, dengan adanya aliran tunai hasil daripada penangguhan bayaran komitmen seperti pinjaman, kita boleh gunakannya untuk kelangsungan perniagaan khususnya pembayaran gaji kepada 15 kakitangan dalam syarikat saya," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini pada Isnin.
BACA: Belanjawan 2021: Golongan M40 tidak dipinggir - Tengku Zafrul
BACA: Belanjawan 2021: Usahawan sambut baik lanjutan program subsidi upah
BACA: 8 salah tanggapan mengenai Bantuan Bayaran Balik Pinjaman Bersasar, ini penjelasan BNM
Selain itu, Hamyddin berkata, program Subsidi Upah 2.0 turut membantu syarikat yang terjejas susulan pandemik COVID-19.
"Perkara itu amat memberi kemudahan kepada kami, malah ia benar-benar berkesan khususnya dalam memastikan semua pihak kekal dengan pekerjaan masing-masing ketika dunia berdepan dengan krisis ekonomi pandemik.
"Selain itu, program itu juga dapat meringankan beban kami untuk membayar gaji semua kakitangan dan tidak perlu memotong gaji mereka meskipun pendapatan syarikat terjejas," katanya lagi.
#COVID-19 #Belanjawan 2021 #golongan M40 #ahli perniagaan #Moratorium #Subsidi upah #pandemik
;