Belanjawan 2019: Pemain industri sambut baik langkah-langkah ekonomi digital

Bernama
November 3, 2018 16:43 MYT
Lazada, platform membeli belah dalam talian, memiliki lebih 50,000 penjual yang akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini dan syarikat itu merancang menambah sejumlah 100,000 penjual pada pertengahan 2019. - Gambar fail
Usaha berterusan kerajaan untuk merangsang ekonomi digital yang dibentangkan dalam Belanjawan 2019 mendapat pujian tinggi daripada pemain industri.
Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia Christophe Lejeune menyambut baik keputusan kerajaan untuk menurunkan harga jalur lebar talian tetap pada akhir 2018 dan memperuntukkan RM1 bilion bagi Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara bagi meningkatkan kesalinghubungan Internet di kawasan luar bandar dalam masa lima tahun.
"Kesalinghubungan luar bandar penting bagi mengembangkan generasi seterusnya usahawan luar bandar daripada kawasan yang tidak mempunyai hubungan Internet sebelum ini.
"Dengan program ini, kita dapat membantu lebih ramai usahawan, meningkatkan akses pembeli luar bandar kepada produk dalam talian yang lebih murah dan seterusnya menambah baik kebajikan mereka," katanya dalam satu kenyataan.
Lazada, platform membeli belah dalam talian, memiliki lebih 50,000 penjual yang akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini dan syarikat itu merancang menambah sejumlah 100,000 penjual pada pertengahan 2019, katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia K Raman berpendapat perniagaan yang tidak menerima pakai revolusi digital dan tidak berkembang dengan cukup pantas akan menjadi kurang kompetitif atau malahan akan ketinggalan ketika mereka berdepan dengan gangguan dalam setiap industri.
"Ketika syarikat dan perusahaan kecil dan sederhana di Malaysia mencari cara yang lebih baik dan lebih pantas untuk memanfaatkam revolusi perindustrian keempat dan mentransformasikan diri mereka sendiri, kecerdasan buatan (AI), pembelajaran mesin dan data raya, diperkasakan oleh pengkomputeran awan, akan memainkan peranan penting," katanya.
Mengenai cadangan kerajaan untuk mengenakan cukai ke atas ekonomi digital, Pengarah Eksekutif Cukai Tidak Langsung KPMG Tax Services, Ng Sue Lynn, berpendapat ia adalah satu 'langkah berani'.
Dalam Belanjawan 2019, pembekal asing yang menyediakan produk dan perkhidmatan digital kepada pengguna akan dikehendaki mendaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mulai 1 Jan, 2020.
"Langkah ini untuk mengenakan cukai kepada ekonomi digital adalah seiring dengan hasrat negara-negara lain dan ia adalah satu langkah berani kerana Malaysia akan menjadi antara negara pertama yang memperkenalkan sistem sedemikian.
"Terdapat bahagian-bahagian yang perlu diperjelaskan seperti bagaimana penyedia perkhidmatan asing akan mendaftar dengan JKDM, dan apakah peraturan penguatkuasaan dan mekanisme pelaporan yang disediakan," katanya.
Ng berkata JKDM mempunyai masa setahun untuk mengkaji, menganalisis dan menghasilkan satu mekanisme yang cekap.
#Bajet 2019 #Belanjawan 2019 #Christophe Lejeune #Internet #JKDM #kastam #Lazada Malaysia #merancak ekonomi #perkhidmatan awam #usahawan
;