Belacan Sinar jadi pilihan di luar negara
Bernama
Disember 28, 2019 08:00 MYT
Disember 28, 2019 08:00 MYT
Jenamanya mungkin tidak begitu dikenali ramai seperti jenama produk-produk lain, namun belacan 'Sinar' yang diusahakan seorang pengusaha belacan di sini, telah menjadi pilihan bagi ramai cef Malaysia yang berkelana di Mekah, Arab Saudi, sejak beberapa tahun lalu.
Selain ke Tanah Suci, belacan Sinar yang juga dikenali dengan nama 'belacan Alor Ibus' dan diusahakan seorang wanita, Rodiyah Hashim di Kampung Alor Ibus, Kuala Kedah di sini, juga telah merantau ke beberapa negara lain, bagi memenuhi keinginan rakyat Malaysia, terhadap bahan penyedap makanan itu.
Menurut Rodiyah, 55, belacannya mendapat permintaan yang amat tinggi daripada cef-cef Malaysia di Mekah, yang gemar menggunakan bahan itu dalam masakan mereka terutama untuk disajikan kepada jemaah Malaysia yang ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji dan umrah.
Menceritakan mengenai perusahaan belacan itu, Rodiyah berkata ia bermula 21 tahun dahulu apabila dia mula membuat belacan bagi mencari pendapatan sampingan, dengan niat membantu suaminya, Sudin Bakar, 55, yang hanya berpendapatan rendah sebagai pemandu lori treler.
"Masa itu kehidupan susah, anak ramai masih sekolah, suami pula ambil upah bawa treler dengan gaji RM1,200 sebulan, memang tak cukup dan saya ambil keputusan, untuk membuat pinjaman daripada Amanah Ikhtiar Malaysia untuk buat belacan.
"Bermula dengan modal RM2,000 saya mengusahakan belacan ini, semua kerja-kerja daripada menjemur udang sehinggalah menggaul, menumbuk udang dan membentuk ketulan belacan dilakukan dengan tangan, dan apabila siap kita kena promosi dan jual sendiri di pasar atau rumah ke rumah," katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.
Rodiyah berkata, kesungguhannya membuahkan hasil apabila belacannya terus mendapat permintaan dan mampu membeli mesin, untuk digunakan dalam pembuatan bahan itu dalam kuantiti yang lebih besar.
Malah, beliau turut menggunakan kemudahan internet untuk mempromosikan belacan Sinar secara lebih meluas dan menikmati kesannya, apabila nilai jualan produknya kini sudah mencecah sehingga RM30,000 setiap bulan.
Mengulas mengenai pembuatannya belacannya, Rodiyah menjelaskan beliau sangat menitik beratkan kualiti dan kebersihan, selain sentiasa memastikan belacan Sinar mampu tahan lebih lama.
Katanya, bahan utama penghasilan belacan iaitu udang perlu dikeringkan sebaik mungkin bagi mengelakkan bau hapak, dan proses lain seperti menggaul dan menumbuk udang turut perlu dilakukan dengan betul.
"Setiap hari sebanyak empat tan metrik udang yang dibeli di Kuala Selangor, Selangor, digunakan untuk menghasilkan belacan. Semua kerja-kerja dilakukan oleh pekerja saya selain dibantu oleh anak-anak," katanya yang menghasilkan belacan pelbagai saiz dan dijual antara RM0.80 hingga RM5 setiap satu.
Ekoran permintaan yang semakin meningkat, Rodiyah turut bercadang membina sebuah stor jemuran di sebelah rumahnya, bagi melancarkan lagi proses pembuatan belacan pada masa akan datang.
-- BERNAMA