Beban RM7.4 bilion kos rawatan penyakit akibat rokok

Bernama
Oktober 31, 2018 04:39 MYT
Kerajaan bakal menanggung kos rawatan penyakit utama akibat merokok berjumlah RM7.4 bilion menjelang 2025. - Gambar hiasan
Kerajaan bakal menanggung kos rawatan penyakit utama akibat merokok seperti kanser paru-paru dan masalah jantung koronari berjumlah RM7.4 bilion menjelang 2025, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata jumlah itu berdasarkan unjuran yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan pada 2017, sekiranya kawalan tembakau di Malaysia tidak diperkukuhkan dan prevalen (lazim) merokok tidak berkurang.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menganggarkan lebih 20,000 lelaki dewasa di Malaysia mati setiap tahun akibat komplikasi daripada tabiat merokok.
"Akibat kesan komplikasi dan kadar kematian yang tinggi, merokok telah memberi kesan kepada ekonomi negara dalam pelbagai aspek termasuk beban kos yang tinggi bagi merawat penyakit akibat merokok, menjejaskan produktiviti akibat pekerja sering tidak sihat dan menyebabkan kerugian kepada negara akibat kematian pra matang," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Dr Dzulkefly menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) sama ada kerajaan bersetuju mengumpul dan menerbitkan data komprehensif mengenai kos ekonomi berkaitan dengan merokok.
#Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad #Dewan Rakyat #Kementerian Kesihatan #kerajaan #mati #RM7 4 bilion #WHO #Wong Chen