Batik Air perkenal semula penerbangan terus KL-Bali
Bernama
Jun 2, 2022 14:11 MYT
Jun 2, 2022 14:11 MYT
KUALA LUMPUR: Batik Air yang sebelum ini dikenali sebagai Malindo Air, memperkenalkan semula penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke destinasi pelancongan Denpasar, Bali, bermula hari ini.
Penerbangan OD306 tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9.10 pagi waktu tempatan dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, Denpasar pada 12.15 tengah hari.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu berkata penerbangan tersebut meningkatkan lagi kapasiti Batik Air ke Indonesia selepas pelancaran penerbangan dua kali sehari ke Jakarta sejak 27 Mac 2022.
Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air Kapten Mushafiz Mustafa Bakri berkata pembukaan semula sempadan antarabangsa selain penamatan sekatan perjalanan akan membolehkan syarikat untuk terus melaras kapasiti bagi memenuhi permintaan berkaitan.
"Bali adalah pasaran utama syarikat sebelum berlakunya pandemik. Oleh itu, kami berharap laluan yang diperkenalkan semula ini dapat memberi kemudahan penerbangan sambungan bagi mereka yang mahu bercuti di Bali, sekali gus meningkatkan kemampuan Batik Air di peringkat pasaran serantau," katanya.
Beliau berkata, laluan tersebut juga menjadi tambahan terkini terhadap perancangan Batik Air untuk menyediakan kemudahan penerbangan sambungan bagi penumpang dari Nepal, India dan Bangladesh serta destinasi lain ke Bali dan ke Australia.
"Batik Air terus mendapat momentum antarabangsa dalam membina semula kapasiti dan laluan. Kami juga terus berusaha menetapkan tahap pemulihan dan meneruskan sebahagian besar rangkaian antarabangsa syarikat ini," katanya.
Selain Denpasar, Bali, laluan penerbangan antarabangsa lain yang diperkenalkan semula oleh Batik Air adalah Jakarta (Indonesia), Kathmandu (Nepal), Dhaka (Bangladesh), Lahore (Pakistan), Trichy (India), Bangkok (Thailand) dan Singapura.
-- BERNAMA