Batik Air lebarkan sayap, mula terbang ke Batam
Umavathi Ramayah
Februari 18, 2024 13:39 MYT
Februari 18, 2024 13:39 MYT
BATAM : Batik Air melebarkan sayapnya menerusi laluan baharu ke Batam, Indonesia dari Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), bermula Jumaat lalu.
Beroperasi tiga kali seminggu, laluan baharu itu adalah selaras dengan komitmen Batik Air untuk mengembangkan pertumbuhan rangkaiannya di Asia Tenggara dan pada masa sama memenuhi permintaan untuk perjalanan intraserantau yang semakin meningkat.
Penerbangan menggunakan pesawat Boeing, B737 yang turut disertai wakil Astro AWANI itu diberi sambutan tradisi dengan pancutan air sebagai tanda selamat datang sebaik sahaja mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Hang Nadim, Batam.
Sebagai promosi, pesawat B737 dengan konfigurasi 180 tempat duduk kelas ekonomi itu kini menawarkan harga serendah bermula RM139 sehala.
Ketua Pegawai Eksekutif Lapangan Terbang Antarabangsa Hang Nadim, Pikri Ilham Kurniansyah berkata, dengan penerbangan baharu itu, pihaknya menyasarkan dapat meningkatkan trafik pelancongan dengan kemasukkan dua juta pelancong ke Batam.
"Kerjasama strategik ini akan memungkinkan Batam dan Kuala Lumpur berkembang bersama. Dengan adanya penerbangan baharu ini, ia akan memungkinkan para pelancong dari Malaysia mengunjungi Batam dengan lebih mudah.
"Bagi Indonesia pula, ia akan memudahkan kami untuk melancong ke luar negara dengan menjadikan Malaysia sebagai pusat transit," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran penerbangan sulung Batik Air di Batam, di sini pada Sabtu.
Sementara itu, di Malaysia pula, penumpang termasuk wakil Astro AWANI yang tiba dari Batam menerusi penerbangan sulung pada Sabtu disambut Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Ammar Abd Ghapar bersama wakil daripada Batik Air dan Malaysia Airport Holdings (MAHB).
"Untuk tahun ini, kita letakkan sasaran 4.1 penumpang dari Indonesia. Indonesia merupakan pasaran pelancongan utama untuk Malaysia berdasarkan hubungan budaya dan ketersambungan yang dikongsi antara kedua-dua negara.
"Selari dengan Tahun Melawat Malaysia pada 2026, kami yakin hubungan ini akan meningkatkan lagi ketibaan pelancong serta menyumbang kepada kemakmuran ekonomi kedua-dua negara.
"Dalam pada itu, kita tengok ramai pelancong dari Indonesia yang menjadikan Malaysia sebagai pusat transit sebelum terbang untuk menunaikan umrah," katanya ketika ditemui di KLIA, di sini pada Sabtu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy, berkata pengenalan penerbangan terus dari Batam ke Kuala Lumpur merupakan langkah strategik untuk mengembangkan kehadiran syarikat penerbangan itu di pasaran utama.
"Laluan baharu ini membolehkan penumpang dari Batam menyambung ke rangkaian penerbangan Batik Air yang semakin berkembang ke 53 destinasi merentasi 22 negara melalui KLIA," ujarnya.
Indonesia menduduki tempat kedua dalam 10 pasaran tertinggi di ASEAN yang menjana pelancong ke Malaysia, menyumbang 2.8 juta ketibaan antara Januari dan November 2023.