Batik Air lancar penerbangan Jakarta-Kota Kinabalu

Bernama
Disember 20, 2017 18:50 MYT
Batik Air menggunakan pesawat Airbus A320 atau Boeing 737-900 ER bagi operasi ke laluan baharu itu.
Batik Air hari ini melancarkan penerbangan terus dua kali seminggu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno - Hatta (CGK) Jakarta ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (BKI), bagi meluaskan rangkaian antarabangsanya.
Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Badlisham Ghazali berkata penerbangan itu akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
"Kami gembira melihat satu lagi syarikat penerbangan terbang ke Kota Kinabalu selepas menyepadukan operasi dalam satu teminal pada 2015," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Mengikut rekod, pergerakan trafik penumpang di BKI mencatat pertumbuhan yang baik iaitu sejumlah 7.3 juta dari Januari hingga November 2017, meningkat 11.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Dalam tempoh yang sama, BKI mencatatkan 2.3 juta trafik penumpang antarabangsa, atau peningkatan sebanyak 22.1 peratus berbanding tahun lepas.
"Kami gembira melihat peningkatan ini selepas berjanji untuk menyokong pembangunan pelancongan di Sabah dua tahun lepas dengan meningkatkan usaha untuk mempromosikan Sabah sebagai sebuah destinasi," katanya.
Pengarah Presiden Batik Air, Achmad Luthfie berkata berdasarkan unjuran muatan penumpang bagi laluan baharu CGK-BKI, terdapat kemungkinan besar kekerapan penerbangan akan ditingkatkan kepada 7 kali seminggu berbanding jadual penebangan pengenalan sebanyak dua kali seminggu.
"Selain itu, Batik Air juga merancang membangunkan lebih banyak laluan baharu termasuk ke Kuching," kata Achmad.
Batik Air menggunakan pesawat Airbus A320 atau Boeing 737-900 ER bagi operasi ke laluan baharu itu.
-- BERNAMA
#Batik Air #Jakarta #Kota Kinabalu #MAHB #Malaysia #pelancongan #pesawat
;