Batik Air ke Timor Leste menjelang suku pertama 2025 - Duta

Bernama
Oktober 17, 2024 17:50 MYT
Penerbangan antara Kuala Lumpur ke Dili memakan masa sekurang-kurangnya empat jam. - Gambar fail
PHNOM PENH: Batik Air menjadi syarikat penerbangan pertama Malaysia menawarkan perkhidmatan pergi balik antara ibu negara Timor-Leste, Dili dengan Kuala Lumpur yang dijangka bermula menjelang suku pertama tahun depan.
Duta Besar Malaysia ke Timor-Leste Datuk Amarjit Singh berkata secara keseluruhannya, Batik Air menjadi syarikat penerbangan kelima ke Dili dengan pegawai kedua-dua terbabit pihak sedang melakukan persiapan akhir bagi pelancaran perkhidmatan itu.
Penerbangan antara Kuala Lumpur ke Dili memakan masa sekurang-kurangnya empat jam.
Dalam temu bual dengan Bernama menerusi telefon, beliau yang berada di Dili berkata kedua-dua pihak telah memeterai perjanjian perkhidmatan itu pada Jun lepas.
"Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia telah memberi kelulusan kepada Batik Air untuk menggunakan laluan ini dengan perbincangan akhir sedang dijalankan bagi memuktamadkan jadual, hak lalu lintas serta jadual penerbangan.
"Saya optimis operasi penerbangan itu dapat dimulakan sebelum sambutan Tahun Baharu Cina," katanya.
Kekurangan aspek kesalinghubungan peringkat serantau dan antarabangsa telah menjejaskan kemajuan Timor-Leste ketika pelabur serta komuniti perniagaan lebih mengutamakan destinasi yang mempunyai kemudahan berkenaan.
Amarjit berkata Timor-Leste dikenali kerana hasil petroleum serta eksport kopi.
Beliau turut menjangkakan aliran perkhidmatan udara antara Malaysia dan and Timor-Leste akan meningkat seiring peredaran masa memandangkan negara berkenaan mempunyai agenda pembangunan, malah dalam proses persediaan menyertai ASEAN untuk menaikkan status ekonomi 1.4 juta penduduknya.
"Kita tidak perlu bimbangkan faktor muatan (penerbangan itu). Ini memandangkan kumpulan pertama 31 penuntut yang dibiayai kerajaan Timor-Leste akan mengikuti pengajian di pelbagai institusi swasta di Malaysia pada November ini dan angka berkenaan dijangka meningkat sekali ganda pada tahun depan," katanya.
Selain itu, terdapat program penjagaan kesihatan tajaan kerajaan Timor-Leste dengan pesakitnya dirujuk ke hospital-hospital di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Melaka.
"Pada masa sama, wujud permintaan untuk produk-produk pertanian yang akan terus menyumbang kepada aspek keterjaminan makanan Timor-Leste.
"Ini akan membentuk laluan mampan untuk syarikat penerbangan ini dengan banyak pergerakan, terutama sejajar status Malaysia menggalas kepengerusian ASEAN pada tahun depan.
"Sehubungan itu, kemasukan Batik Air ini akan berperanan sebagai pengganda semula jadi, melonjakkan pelancongan, perdagangan dan perniagaan antara kedua-dua negara," katanya.
Amarjit berkata bilangan pegawai-pegawai Timor-Leste di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia juga meningkat daripada 650 orang pada akhir 2022 kepada lebih 800 orang ketika negara itu bersiap menganggotai blok serantau itu.
Batik Air memulakan operasinya pada Mac 2013 yang merangkumi perkhidmatan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah atau lebih dikenali sebagai Lapangan Terbang Subang.
Mengikut laman sesawang rasminya, syarikat penerbangan itu mengendalikan 800 penerbangan mingguan ke 52 laluan di Asia Tenggara.
-- BERNAMA
#Batik Air #syarikat penerbangan pertama Malaysia #Timur Leste #Dili #Kuala Lumpur #Amarjit Singh
;