Batik Air gantung operasi ke Istanbul bermula 1 Mei

Ridauddin Daud
April 19, 2024 15:53 MYT
Batik Air akan memaklumkan penggantungan tersebut kepada penumpang terjejas melalui e-mel dan teks. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Batik Air mengumumkan penggantungan operasi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (SAW) di Istanbul, Turki, berkuat kuasa 1 Mei 2024.
Menerusi satu kenyataan pada Jumaat, syarikat penerbangan itu berkata keputusan itu dibuat sebagai respons terhadap situasi di Asia Barat yang memberi kesan kepada laluan penerbangan Batik Air.
Menurutnya, cabaran dihadapi itu membuatkan syarikat tersebut terpaksa mengambil keputusan sukar dengan menggantung operasi ke lapangan terbang berkenaan.
Tambahnya, keputusan itu dibuat selepas meneliti keadaan semasa dan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan penumpang serta anak kapal sentiasa terjamin.
Batik Air akan memaklumkan penggantungan tersebut kepada penumpang terjejas melalui e-mel dan teks.
Bagi urusan bayaran balik pula, syarikat tersebut meminta mereka yang terjejas melayari laman web syarikat untuk memohon bayaran balik.
“Pasukan ini tetap komited untuk memastikan keselamatan dan keselesaan penumpang kami di semua laluan.
“Kami akan terus memantau keadaan dengan teliti dan memberikan kemas kini dalam masa terdekat,” menurut kenyataan tersebut.
#Batik Air #Tukri #Istanbul #perang Iran-Israel
;