BAT Malaysia optimis terhadap prospek 2023 di sebalik persekitaran mencabar

Dagang News
Februari 9, 2023 11:40 MYT
NEDAL: Kami amat berharap kerajaan baharu dapat mengekalkan langkah-langkah yang diumumkan semasa pembentangan Bajet 2022, dalam pembentangan Bajet 2023. - Foto DagangNews
KUALA LUMPUR: British American Tobacco (M) Bhd (BAT) optimis terhadap prospek syarikat bagi 2023 meskipun berdepan persekitaran ekonomi yang mencabar.
Pengarah Urusannya, Nedal Salem berkata, dengan pelancaran produk pemanas tembakau, glo yang memasuki pasaran pada Februari 2023, ia kini mampu menawarkan pilihan alternatif dengan potensi risiko yang dikurangkan kepada perokok dewasa Malaysia.
Katanya, ia adalah selaras dengan komitmen syarikat ke arah membina 'A Better Tomorrow'.
“Kami juga didorong misi kerajaan baharu untuk melaksanakan pembaharuan ekonomi bagi merangsang pertumbuhan dan mengukuhkan asas negara.
"Ini sebahagiannya boleh dicapai melalui mengurangkan kebocoran yang berpunca daripada pasaran gelap tembakau dan mewujudkan aliran hasil baharu dengan melaksanakan percukaian untuk produk berisiko yang dikurangkan seperti vape, yang masih tidak dikawal," katanya dalam kenyataan.
Menurut Nedal, pada pembentangan Bajet 2022, pelbagai langkah diumumkan untuk mengurangkan tahap pasaran gelap tembakau termasuk pengenalan dasar titik masuk tunggal di wilayah utara, kawalan dipertingkatkan di tempat pendaratan termasuk jeti persendirian dan skim ganjaran khas untuk penguatkuasaan bagi menghentikan aktiviti penyeludupan.
“Kami amat berharap kerajaan baharu dapat mengekalkan langkah-langkah ini dalam pembentangan Bajet 2023, selain turut meneroka peraturan berasaskan bukti untuk menjadikan pasaran vape sebagai pasaran yang sah," katanya.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22), BAT Malaysia merekodkan pendapatan berjumlah RM2.6 bilion manakala keuntungan daripada operasi sebanyak RM407 juta.
Kumpulan mencatatkan peningkatan dalam margin keuntungan kasar sebanyak 0.5% berbanding tahun sebelumnya. Keuntungan kasar untuk FY22 berjumlah RM678 juta berbanding RM675 juta pada 2021.
Untuk melaksanakan strategi memudahkan portfolio, kumpulan menyaksikan penurunan yang dirancang dalam bahagian pasaran keseluruhan sebanyak 0.8% berbanding tempoh sama tahun lepas disebabkan penyahsenaraian jenama Kent dan Pall Mall.
Volum tahunan menurun sebanyak 2% berbanding 2021 yang mana faedah ‘one off’ dalam volum diperhatikan semasa peralihan laluan pasaran.
Selaras dengan aliran penurunan dagangan yang diperhatikan dalam pasaran, jenama Value-for-Money (VFM) kumpulan, KYO dan Rothmans, menguasai tambahan 1% bahagian pasaran. - DagangNews.com
#British American Tobacco #Nedal Salem #BAT Malaysia #Bajet 2023
;