Barang hiasan rumah antara paling 'laris' sejak pelaksanaan PKP 2.0 - Shopee
Hasimi Muhamad
Januari 19, 2021 12:46 MYT
Januari 19, 2021 12:46 MYT
KUALA LUMPUR: Pembelian barangan pembaikan dan hiasan rumah secara dalam talian menunjukkan peningkatan lapan kali ganda sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.
Platform e-dagang Shopee memaklumkan, trend positif itu sekali gus menyaksikan lebih 900,000 produk dijual berikutan ramai pengguna menghabiskan lebih banyak masa di rumah.
Ia diikuti dengan pembelian barangan produk elektronik seperti komputer riba, telefon pintar dan papan kekunci yang menunjukkan peningkatan sebanyak 4.5 kali ganda, dengan lebih 550,000 unit dijual.
Selain itu, penyelesaian sambungan internet kad SIM YES Kasi Up mencecah hampir 20,000 unit dalam masa lima hari.
Bagaimanapun menurut Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho, tiada tanda-tanda pembelian panik berbanding dengan pelaksanaan PKP pertama pada Mac tahun lalu.
"Berbanding dengan PKP yang pertama di mana barangan keperluan harian menyumbang sebahagian besar kepada pesanan di platform kami.
"Kali ini data menunjukkan rakyat Malaysia juga membeli barangan untuk menyesuaikan diri untuk bekerja atau belajar dari rumah serta produk-produk untuk menyerikan rumah kediaman.
"Walaupun platform kami mencatat pertumbuhan keseluruhan yang kuat, jumlah pertumbuhan yang dicatatkan bagi kategori bukan barangan runcit nampaknya lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Ho berkata permintaan untuk daging, ikan, sayur-sayuran serta buah-buahan turut meningkat hampir dua kali ganda kepada 85,000 unit dijual.
"Begitu juga dengan permintaan untuk makanan haiwan peliharaan yang melonjak tiga kali ganda kepada lebih 330,000 unit dijual," tambahnya.
Sementara itu, sempena perayaan Tahun Baru Cina, kata kunci produk seperti '100 Plus', 'hiasan Tahun Baru Cina', ‘Sarang Burung’, serta 'cheongsam' menjadi antara 30 carian teratas di platform beli-belah dalam talian itu.
Tambah kenyataan itu lagi, pelbagai tawaran menarik menanti pengguna menerusi kempen Pay Day Sale dan 2.2 Jualan Tahun Baru Cina.
Ia termasuk 88,000 baucar penghantaran percuma tambahan yang boleh digunakan untuk pembelian dari harga serendah RM8 dan baucar 50 peratus pulangan tunai Syiling.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP di beberapan buah negeri bermula dari 13 Januari sehingga 26 Januari ini dalam usaha mengekang penularan COVID-19.