Bantuan untuk PMKS mesti bermula selewat-lewatnya Mac - PM Ismail Sabri

Firdaus Azil
Februari 18, 2022 18:16 MYT
Perdana Menteri berkata, bantuan itu termasuklah geran RM3,000, pinjaman tanpa faedah melalui agensi-agensi kerajaan, serta pemberian moratorium selama setahun. - Foto Astro AWANI/Mohamad Noor Fitri MZ
ISKANDAR PUTERI: Segala bentuk bantuan kewangan kerajaan terhadap Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) mesti diselesaikan selewat-lewatnya minggu pertama bulan Mac ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, bantuan itu termasuklah geran RM3,000, pinjaman tanpa faedah melalui agensi-agensi kerajaan, serta pemberian moratorium selama setahun.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, bantuan RM3,000 juga akan disalurkan kepada perniagaan ‘informal’, seperti warung dan gerai makanan, termasuk yang musnah akibat bencana banjir yang melanda sebahagian besar negara baru-baru ini.
“Saya beritahu Tan Sri Noh Omar (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi), bayaran atau apa yang diumumkan kerajaan mesti boleh diperolehi usahawan tersebut, paling lewat awal bulan Mac.
“Saya tak mahu, lepas dah saya umum, Tan Sri Noh dah umum, akhirnya bayaran lambat. Kerana mereka (usahawan PMKS termasuk informal) ini perlukan bantuan kerajaan dengan segera. Saya harap minggu pertama Mac selesai, terutama yang libatkan geran dan pinjaman,” katanya lagi.
Perdana Menteri berkata demikian kepada sidang media selepas melancarkan Program Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia di sini, hari ini.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad; Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim, serta pegawai kanan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.
Terdahulu dalam ucapannya, Ismail Sabri berkata, di bawah Bajet 2022, Kerajaan melalui jalinan dengan Syarikat Milik Kerajaan (GLC) memperuntukkan dana keseluruhan sebanyak RM5 bilion untuk golongan usahawan PMKS.
Perdana Menteri berkata, dana tersebut tidak termasuk program-program yang dilaksanakan melalui agensi-agensi Kerajaan, seperti TEKUN dan BSN.
Selain itu beliau berkata, gerakan koperasi amat penting bagi mengerakkan semula sektor PMKS, kerana ia merupakan ‘growth engine’ yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang dapat mentransformasi dan memperkasakan ekonomi masyarakat setempat.
“Dalam mempelbagaikan lanskap ekonomi pada masa kini, gerakan koperasi perlu mengambil peluang dengan menginovasikan aktiviti mereka agar tidak ketinggalan dalam apa jua peluang dan sektor-sektor baharu yang wujud pasca pandemik ini,” katanya lagi.
#PMKS #perusahaan mikro kecil dan sederhana #Perdana Menteri #ismail sabri yaakob #bantuan #Noh Omar
;