Bantuan tunai: Hanya bersifat populis, perlu pelbagai pertimbangan

Harits Asyraf Hasnan
Jun 8, 2022 13:35 MYT
Penarikan semula subsidi secara pukal juga perlu diteliti kerana ia akan turut menyebabkan kejutan kepada ekonomi. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Bantuan tunai langsung kepada rakyat secara universal atau tanpa bersyarat hanya bersifat populis.
Pakar Ekonomi, Prof Madya Yusof Saari sebaliknya berkata bantuan tersebut akan memberi dua impak negatif yang perlu diteliti oleh kerajaan.
"Pertama, apabila kita bagi bantuan tunai ini, ia akan memberi tekanan kepada inflasi kerana kita faham bahawa sekarang ini, pihak pengeluar ada masalah rantaian bekalan dan masalah pengeluaran yang terhad.
"Apabila duit masuk, bantuan tunai ini akan menyebabkan permintaan bertambah dan penawaran tidak akan dapat menyokong pertambahan itu.
"Ini akan menyebabakan harga cenderung untuk naik sekali gus menyebabkan satu lagi masalah baharu iaitu menyebabkan harga lebih tinggi," katanya ketika ditemu bual Niaga AWANI.
Niaga AWANI: Ekonomi | Memahami impak bantuan tunai langsung
Jelasnya, beberapa indikator penting perlu dipertimbang kerajaan dalam pemberian bantuan tunai termasuk tempoh pelaksanaannya.
Malah, penarikan semula subsidi secara pukal juga perlu diteliti kerana ia akan turut menyebabkan kejutan kepada ekonomi.
"Kalau ingin ia dilakukan, yang pertama sekali adalah perlu dibuat pada masa yang tepat.
"Adakah sekarang ini masa terbaik untuk kita melakukan perkara tersebut (menaik subsidi pukal)?
"Kita kena faham bahawa penarikan subsidi pukal ini bukan sahaja memberi impak kepada isi rumah tetapi juga sektor ekonomi secara keseluruhannya.
"Pengguna atau isi rumah akan terkesan secara langsung iaitu melalui harga minyak yang akan naik apabila subsidi ditarik, mereka juga akan terkesan apabila membeli barang lain di pasaran kerana barangan lain akan berlaku peningkatan harga disebabkan kos tenaga atau bahan api yang telah meningkat," katanya.
Justeru katanya, pertimbangan wajar perlu dilakukan sebelum sebarang keputusan sama ada menarik semula subsidi pukal atau pemberian bantuan tunai langsung dilakukan.
#subsidi #harga minyak #bantuan tunai kerajaan #impak bantuan tunai
;