Bantuan bersasar kekalkan daya tahan sektor perbankan - BNM

Bernama
Oktober 25, 2020 10:45 MYT
Hutang isi rumah di Malaysia adalah 87 peratus daripada KDNK. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Bantuan bersasar akan membolehkan bank menilai situasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini disebabkan pandemik COVID-19 dan menyalurkan dana kepada sektor-sektor yang memerlukan dan membantu pemulihan ekonomi.
Pelbagai langkah termasuk Kemudahan Bantuan Khas (SRF) berjumlah RM10 bilion telah diperkenalkan untuk menyediakan bantuan sementara kepada perniagaan, menurut Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Jessica Chew.
Selain SRF yang telah dimanfaatkan sepenuhnya, dana lain seperti Pembiayaan PKS PENJANA (PSF), Geran Sepadan Pendigitalan PKS dan Geran Automasi Pintar (SAG) masih tersedia untuk memberi sokongan kepada perniagaan untuk beroperasi semula dan menjalani pemulihan.
Pembiayaan Pelancongan PENJANA (PTF) bernilai RM1 bilion masih ditawarkan untuk perniagaan dalam sektor pelancongan. Dana itu membolehkan sektor berkenaan menyesuaikan kepada norma baharu, sekali gus membolehkan perniagaan untuk bangkit semula dan pulih dengan cepat.
Bagaimanapun, untuk perniagaan berupaya mempertahankan pemulihan mereka dan isi rumah terus mendapat akses kepada pembiayaan, sektor perbankan haruslah dalam keadaan yang baik.
Bercakap kepada Bernama dalam satu temu bual, Chew berkata daya tahan sektor perbankan adalah penting dan bantuan bersasar itu adalah kaedah yang terbaik pada masa depan.
"Bantuan bersasar membantu orang ramai untuk kembali ke landasan dan mengurangkan keseluruhan hutang mereka. Maklumat yang ada mengenai sejarah pembayaran balik peminjam turut menggalakkan bank untuk memberi pinjaman.
"Sebaliknya, ketiadaan data pembayaran balik berikutan moratorium menyeluruh akan menjejaskan keupayaan sistem kewangan untuk menggerakkan pinjaman baharu yang penting kepada pemulihan ekonomi," kata beliau.
Hutang isi rumah di Malaysia adalah 87 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. Sehubungan itu, mengekalkan budaya kredit yang sihat adalah penting bagi memastikan aktiviti perantaraan yang berterusan.
Peminjam yang berkemampuan untuk meneruskan pembayaran balik pinjaman, adalah dinasihatkan berbuat demikian.
Bagi peminjam yang mempunyai kemampuan kewangan, mereka memilih untuk meneruskan semula pembayaran kerana enggan membuat penangguhan dan menanggung kos pinjaman yang lebih tinggi.
Sehingga Ogos 2020, jumlah pembayaran balik pinjaman telah mencapai 70 peratus seperti pada tahap pra moratorium.
"Orang ramai tampil ke hadapan khususnya semasa PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) apabila mereka merasakan dalam kedudukan yang lebih baik. Mereka mula membayar kembali pinjaman meskipun moratorium belum berakhir," kata Chew.
Bank pula terus membantu peminjam menerusi penyusunan bantuan pembayaran balik yang telah disesuaikan untuk meringankan beban kewangan peminjam.
Ditanya mengenai tempoh pembayaran balik yang berbeza-beza, Chew berkata sekiranya peminjam dapat mengekalkan bayaran bulanan asal dengan beberapa pelarasan disebabkan faedah terakru, tempoh pembayaran balik tidak akan mengalami banyak perubahan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, sekiranya jumlah pembayaran bulanan mereka mendapat banyak pengurangan dan distruktur semula akibat keadaan kewangan semasa peminjam, tempoh tersebut mungkin perlu dilanjutkan.
Selain itu, adalah penting untuk mengekalkan daya tahan sektor perbankan dan kewangan negara, kata Chew ketika ditanya sama ada moratorium menyeluruh adalah tidak wajar berikutan sektor perbankan dilihat berada di landasan kukuh.
"Sistem perbankan berada di landasan kukuh sejak bertahun-tahun dengan mematuhi standard pinjaman yang sihat dan membina penampan modal.
"(Bagaimanapun), ketidaktentuan akan terus wujud sehinggalah vaksin tersedia dengan meluas," katanya sambil menambah penampan sektor perbankan dan kewangan adalah penting kepada bank untuk menyokong ekonomi sepanjang tempoh ketidaktentuan ini dan memastikan sumber disalurkan kepada mereka yang memerlukan.
Timbalan Gabenor BNM itu meyakinkan peminjam bahawa semua usaha telah dilakukan untuk mempermudahkan proses permohonan bantuan pembayaran balik.
Pelbagai saluran sokongan turut disediakan kepada peminjam yang berdepan dilema misalnya BNMTELELINK dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Bank pusat juga mengadakan sesi keterlibatan yang berterusan dengan PKS untuk menangani sebarang isu yang dihadapi.
Peminjam boleh menghubungi BNMTELELINK di talian 1-300-88-5465 atau AKPK di 03 2616 7766.
-- BERNAMA
#KDNK #Bank Negara Malaysia #PKS #bank #ekonomi #pelancongan #pandemik #COVID-19 #perintah kawalan pergerakan #Peminjam #pembayaran balik #bantuan #AKPK #PENJANA #Kemudahan Bantuan Khas #SRF #Jessica Chew #bantuan bersasar #pemulihan #hutang
;