Bank Rakyat jangka perniagaan bertahan meskipun ekonomi mencabar
Bernama
Januari 27, 2016 08:43 MYT
Januari 27, 2016 08:43 MYT
Bank Rakyat menjangka aktiviti perbankannya, seperti pinjaman, mampu bertahan sepanjang tahun ini meskipun situasi ekonomi yang mencabar.
Pengerusinya Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal (B) berkata Bank Rakyat telah bersedia dengan langkah-langkahnya sendiri untuk menangani situasi sekarang dengan menjalin lebih banyak kerjasama dengan entiti awam dan swasta.
"Terdapat beberapa institusi yang boleh mencatatkan prestasi baik dalam tempoh baik dan buruk dan saya percaya kami mempunyai persediaan untuk berdepan keadaan sekarang.
"Kami sedang berbincang untuk menjalin lebih banyak perkongsian tahun ini...sekarang ini hanya tunggu masa untuk memuktamadkan beberapa perkara pengurusan dengan mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM), di sini, pada Selasa.
Abdul Aziz berkata, MoU tersebut adalah bertujuan untuk menawarkan produk pembiayaan dan perkhidmatan Bank Rakyat kepada 800 buah syarikat di bawah PPKKM.
"Kerjasama selama dua tahun ini merupakan inisiatif untuk meluaskan pasaran produk serta perkhidmatan bank rakyat dengan membantu ahli PPKKM seperti bekas polis dan pesara tentera dari aspek pengurusan modal perniagaan.
"Memandangkan pembiayaan modal agak sukar diperoleh disebabkan ketidakstabilan ekonomi semasa, MoU ini dilihat mampu membantu mereka yang ingin memulakan perniagaan," katanya.
Menurutnya, antara produk yang ditawarkan melalui MoU ini termasuklah pembiayaan komersial, pembiayaan runcit, pembukaan akaun simpanan-i atau deposit berjangka-i (e-CAi), serta kemudahan kad kredit-i dan kad debit-i.
Selain itu, katanya, pembayaran gaji kakitangan PPKKM melalui akaun simpanan-i bank rakyat juga turut dipersetujui di bawah MoU tersebut.
"Ini adalah selaras dengan keutamaan bank untuk menawarkan perbankan meluas dan memperbaiki perkhidmatan yang ditawarkan dari semasa ke semasa seiring pembangunan negara," katanya.