Bank Pembangunan, MDEC bekerjasama bantu petani di bawah Program Digital Agtech

Dagang News
Oktober 28, 2021 09:04 MYT
Arshad (kanan) bersama Mahadhir dalam majlis pertukaran MoU secara maya yang diadakan sempena Minggu Data & AI 2021. -Dagang News
KUALA LUMPUR: Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) menjalin kerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dalam usaha menyokong pembangunan dan penggunaan digitalisasi dalam perniagaan yang menjadi pemangkin dalam pemulihan ekonomi negara.
Kerjasama ini menyaksikan sokongan pembiayaan daripada BPMB yang menjurus ke arah memperkukuh Program Digital Agtech MDEC yang disasarkan kepada komuniti petani.
Sebagai permulaan, BPMB akan memberi sokongan kepada petani yang melaksanakan tanaman cili bermula dengan Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat.
Di bawah inisiatif ini, BPMB memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi membiayai sistem pertanian pintar penanaman cili menerusi platform peer-to-peer yang dikendalikan oleh microLEAP PLT.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Arshad Ismail yakin kerjasama bersama MDEC akan membuahkan hasil yang positif sejajar dengan peranan strategiknya untuk membantu komuniti perniagaan kembali pulih.
"Sebagai salah satu institusi pembangunan kewangan tertua di negara ini, kami komited untuk membantu mempermudahkan pendigitalan dan automasi merentasi semua sektor di Malaysia terutama sejak tercetusnya wabak ini yang semakin mempercepatkan peralihan kepada teknologi digital.
"Oleh itu, saya berharap dapat memanfaatkan kekuatan dan kepakaran kolektif kami untuk membentuk perkongsian ideal dalam perjalanan kami ke arah memangkin pertumbuhan Ekonomi Digital Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Majlis pertukaran dokumen memorandum persefahaman (MoU) secara maya antara Arshad dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz telah diadakan sempena Minggu Data & AI 2021 (AIDW) yang dianjurkan MDEC mulai 25 hingga 29 Oktober 2021.
Sementara itu, Mahadhir berkata, pihaknya berbesar hati dapat menjalin kerjasama strategik dengan BPMB yang akan menjadi langkah penting bagi bagi mempercepatkan Program Digital Agtech dan penggunaan Revolusi Perindustrian 4.0 di seluruh negara.
"MDEC telah memacu kerjasama dalam kalangan semua pemegang kepentingan ekonomi digital, dan kerjasama dengan BPMB ini adalah bukti kekuatan kerjasama dalam mengangkat Malaysia sebagai Pusat Digital ASEAN," katanya. - DagangNews.com
#MDEC #BPMB #digitalisasi dalam perniagaan #pemulihan ekonomi negara
;