Bank Negara Malaysia kekal OPR pada 3.00 peratus
Bernama
Mei 9, 2024 16:42 MYT
Mei 9, 2024 16:42 MYT
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus dalam mesyuarat hari ini.
Menurut bank pusat, ekonomi global terus berkembang berikutan pasaran pekerja yang berdaya tahan di beberapa negara dan pemulihan perdagangan global yang berterusan.
"Pada masa depan, pertumbuhan global dijangka berkekalan kerana rintangan daripada dasar monetari yang ketat dan sokongan fiskal yang berkurangan akan disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang positif serta inflasi yang terus menurun," katanya dalam kenyataan hari ini.
BNM berkata perdagangan global dijangka terus kukuh berikutan peningkatan kitaran teknologi yang berterusan.
Katanya walaupun inflasi keseluruhan dan inflasi teras global terus menurun pada bulan-bulan kebelakangan ini, kadar disinflasi telah menjadi perlahan di beberapa ekonomi maju.
"Ini meningkatkan prospek kadar faedah untuk kekal tinggi bagi masa yang lebih lama, khususnya di Amerika Syarikat (AS).
"Prospek pertumbuhan terus bergantung kepada risiko pertumbuhan menjadi perlahan, disebabkan terutamanya oleh ketegangan geopolitik yang semakin meruncing, inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan dan volatiliti dalam pasaran kewangan global," katanya.
Bagi ekonomi Malaysia, katanya petunjuk terkini mencatatkan aktiviti ekonomi yang lebih giat pada suku pertama 2024, didorong oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dan pemulihan eksport yang positif.
Pada masa depan, katanya momentum pemulihan eksport dijangka bertambah baik, disokong oleh kitaran menaik teknologi global serta eksport barangan bukan elektrik dan elektronik yang terus kukuh.
Ketibaan dan perbelanjaan pelancong juga dijangka terus meningkat selain pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah, menurut bank pusat.
"Aktiviti pelaburan akan disokong oleh projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam yang sedang dijalankan, pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah beberapa pelan induk nasional serta lebih banyak pelaburan yang diluluskan kini direalisasikan," katanya.
BNM berkata prospek pertumbuhan bergantung kepada risiko pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada permintaan luaran yang lebih lemah daripada jangkaan serta penurunan pengeluaran komoditi yang lebih besar.
Sementara itu, katanya pertumbuhan menjadi lebih tinggi berpunca terutamanya daripada limpahan peningkatan kitaran teknologi yang lebih besar, aktiviti pelancongan yang lebih giat serta pelaksanaan yang lebih pantas bagi projek sedia ada dan projek baharu.
Inflasi keseluruhan dan inflasi teras, masing-masing berpurata pada 1.7 peratus dan 1.8 peratus pada suku pertama 2024.
Pada masa depan, BNM berkata inflasi pada 2024 dijangka kekal sederhana, mencerminkan secara amnya keadaan permintaan yang stabil dan tekanan kos yang terkawal.
"Prospek tahun ini bergantung kepada pelaksanaan dasar dalam negeri mengenai subsidi dan kawalan harga serta perkembangan harga komoditi dan pasaran kewangan global," katanya.
Selepas mengambil kira kesan yang mungkin berlaku berikutan rasionalisasi subsidi, BNM mengunjurkan inflasi keseluruhan dan inflasi teras, masing-masing berpurata antara 2.0 peratus dan 3.5 peratus serta 2.0 peratus dan 3.0 peratus pada tahun ini.
Mengenai ringgit, katanya mata wang tempatan pada masa ini tidak mencerminkan asas ekonomi dan prospek pertumbuhan Malaysia.
"Faktor luaran iaitu peralihan jangkaan berhubung dengan haluan dasar monetari di ekonomi utama dan ketegangan geopolitik yang berterusan telah menyebabkan volatiliti yang ketara dalam aliran modal dan kadar pertukaran di seluruh rantau ini, termasuk ringgit," katanya.
Inisiatif terselaras oleh kerajaan dan BNM dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta libat urus syarikat korporat telah membuahkan hasil, lantas mengurangkan tekanan ke atas ringgit.
"BNM akan terus menguruskan risiko yang berpunca daripada volatiliti pasaran kewangan. Pada tempoh jangka sederhana, pembaharuan struktur dalam negeri akan memberikan sokongan yang lebih berpanjangan kepada ringgit," katanya.
Pada tahap OPR semasa, katanya pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa berhubung dengan prospek inflasi dan pertumbuhan.
"MPC tetap berwaspada terhadap perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.
"MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil," katanya.
-- BERNAMA