Bank Negara mahu lebih banyak maklumat 1MDB berkaitan pelaburan luar negara

Najib Aroff
November 13, 2015 08:58 MYT
Gabenor: Ia (memberi maklumat) mengambil masa kerana ia kompleks.
Bank Negara masih menanti maklumat tambahan dari 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum melakukan penilaian terhadap dakwaan syarikat strategik milik kerajaan itu bahawa ia tidak dapat membawa pulang dana pelaburan bernilai AS$1.83 bilion dari luar negara.
Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata bank pusat mempertimbangkan alasan 1MDB bahawa dana tersebut sudah digunakan dan diperuntukkan untuk “pertukaran aset bagi hutang” sebagai sebahagian langkah rasionalissi syarikat tersebut.
“Bank Negara sedang mengesahkan dan mengambil kira komitmen 1MDB di bawah pelan rasionalisasi syarikat yang akan menyumbang kepada pengurangan hutang syarikat itu," katanya ketika membentangkan prestasi ekonomi suku ketiga.
Bulan lepas 1MDB diarahkan oleh BNM untuk membawa pulang jumlah dana pelaburan tersebut selepas bank pusat membatalkan tiga kebenaran pelaburan luar negara terhadap 1MDB di bawah Akta Kawalan Tukaran Asing 1953 (ECA)
Arahan penghantaran kembali wang itu mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.
1MDB kemudian memberitahu wang tersebut tidak boleh dibawa pulang kerana sudah dibelanjakan atau diperuntukkan bagi perpindahan hutang.
Zeti berkata masih terlalu awal untuk menentukan bila penilaian akan disiapkan.
“Perkara ini bukan mudah dan kompleks, sejurus selepas semua maklumat dihantar, kami akan mulakan penilaian,” katanya.
Zeti berkata wajib untuk semua syarikat menyediakan kemaskini maklumat berkaitan perincian pelaburan luar negara mereka apabila di minta oleh Bank Negara terutama melibatkan jumlah yang melebihi RM100 juta.
#1MDB #Arul Kanda #Bank Negara #BNM #Zeti