Bank Negara kaji untuk kurangkan pengeluaran wang kertas RM1 dan RM5

Bernama
Julai 2, 2013 17:42 MYT
Bank Negara Malaysia (BNM) sedang mengkaji untuk mengurangkan pengeluaran wang kertas RM1 dan RM5 melalui beberapa fasa mulai Aidilfitri ini.
Penolong Gabenor BNM Norzila Abdul Aziz berkata BNM akan mengitar semula wang kertas denominasi RM1 dan RM5 pada perayaan Aidilfitri bagi melestarikan sumber asli dan memulihara alam sekitar.
"Setiap tahun BNM mencetak 500 juta keping wang kertas baharu untuk memenuhi permintaan sempena musim perayaan."
"Bayangkan betapa banyaknya penggunaan dan pembaziran sumber negara yang telah berlaku yang sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk kegunaan lain," katanya pada sidang berita selepas melancarkan Majlis Pelancaran Kempen Amalan Hijau Penggunaan Wang Polimer Sesuai Untuk Edaran Semula di sini hari ini.
Norzila berkata BNM akan mencetak 70 peratus wang kertas baharu RM1 dan mengitar semula 30 peratus wang kertas RM1 manakala bagi wang kertas RM5, BNM akan mengitar semula 60 peratus wang kertas RM5 dan mencetak 40 peratus wang kertas baharu RM5.
Katanya wang polimer diperkenalkan pada 2004 bagi wang RM5 untuk meningkatkan daya tahan wang itu serta mengurangkan pembaziran dan kemudiannya diperkenalkan wang polimer RM1 pada 2012 apabila wang polimer RM5 terbukti berkesan.
"BNM telah mengeluarkan wang polimer RM1 dan RM5 di mana wang polimer ini lebih berkualiti serta tahan lama dan jangka hayatnya adalah antara dua hingga tiga kali lebih lama berbanding dengan wang kertas," katanya.
Katanya wang polimer boleh terus diedarkan lebih lama berikutan keupayaannya mengekalkan keselamatan dan kualiti estetik sepanjang hayat penggunaannya.
Menurutnya, orang ramai tidak perlu ragu-ragu menggunakan wang kertas yang sesuai sebagai "duit raya" kerana hanya wang berkualiti tinggi dikitar semula.
"BNM akan memastikan wang kertas dan polimer yang mencukupi dalam semua denominasi untuk memenuhi permintaan musim perayaan ini."
"Persatuan Bank-bank dalam Malaysia dan Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia akan menggalakkan dan membantu aktiviti kitar semula wang kertas dan polimer yang sesuai untuk edaran semula dengan mengeluarkannya melalui cawangan bank dan mesin wang automatik," katanya.
#Aidilfitri #BNM #RM1 #RM5 #wang kertas
;