Bank Negara dijangka kekalkan kadar pinjaman sedia ada - penganalisis
Bernama
Mac 23, 2017 07:43 MYT
Mac 23, 2017 07:43 MYT
Bank Negara Malaysia (BNM) diunjur mengekalkan kadar pinjaman asas sedia ada biarpun pertumbuhan ekonomi negara ini dijangka meningkat pada tahun ini, kata penganalisis ForexTime (FXTM).
Naib Presiden Pembangunan Korporat dan Penyelidikan Pasaran FXTM, Jameel Ahmad berkata bank pusat itu dijangka tidak akan menyusuli langkah pihak Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) menaikkan kadar faedah berikutan ketidaktentuan ekonomi yang berlanjutan.
"Sebahagian besar penyumbang ketidaktentuan ekonomi yang berterusan itu adalah disebabkan oleh faktor luaran. Sehubungan itu kadar pinjaman lebih rendah pada 3.0 peratus sepatutnya menjadi faktor menyokong ekonomi domestik.
"Alasan lain mengapa BNM sukar untuk melaksanakan sebarang pengurangan kadar itu adalah disebabkan oleh tekanan inflasi yang kian ketara di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
BNM tidak membuat sebarang perubahan terhadap kadar dasar semalaman 3.0 peratus pada mesyuarat keduanya baru-baru ini, daripada enam mesyuarat yang dijadualkan pada tahun ini.
Pada Julai 2016, bank pusat itu bertindak menurunkan kadar itu sebanyak 25 mata asas.
-- BERNAMA
#Bank Negara Malaysia
#ForexTime
#fxtm
#jameel ahmad
#kadar dasar semalaman
#kadar pinjaman asas
#ketidaktentuan ekonomi
#penganalisis
#Rizab Persekutuan Amerika Syarikat