Bank Malaysia miliki permodalan dan kecairan baik, prospek kekal stabil - Moody's

Bernama
September 29, 2021 04:47 MYT
Moody's Investors Service mengubah prospek bank-bank Malaysia kepada 'stabil' awal tahun ini daripada negatif tahun lepas. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bank-bank Malaysia memiliki permodalan yang baik dan kecairan mencukupi untuk bertahan daripada kerugian tidak dijangka yang boleh berlaku, kata Moody's Investors Service.
Penganalis kumpulan institusi kewangannya Tengfu Li berkata agensi penarafan itu telah mengubah prospek bank-bank Malaysia kepada 'stabil' awal tahun ini daripada negatif tahun lepas dan setakat ini mengekalkan pendirian itu atas beberapa alasan utama.
"Bank-bank Malaysia kekal mencatatkan keuntungan tahun ini dengan beberapa bank mencatatkan prestasi lebih baik berbanding 2020 bagi tempoh separuh pertama tahun ini.
"Walaupun bank-bank dijangka menerima impak daripada lanjutan program bantuan pembayaran balik yang akan menjejaskan kos kredit dan juga dari segi margin keuntungan berikutan kos modifikasi sekali pada separuh pertama, secara strukturnya sistem perbankan Malaysia cukup kukuh untuk menghadapi tekanan," katanya semasa acara "Global Islamic Finance Industry Update Media Roundtable" yang diadakan secara maya pada Rabu.
Li berkata bank Malaysia, Islam dan konvensional, telah membina rizab kerugian pinjaman yang sangat kukuh kira-kira 150 peratus secara puratanya dan masih meningkatkan penampan terhadap program bantuan pembayaran balik.
"Malaysia juga mempunyai kekuatan ekonomi berstruktur lain seperti hubungannya dengan perdagangan global yang bertambah baik serta kekuatan aset kewangan isi rumah untuk menyokong sistem," jelasnya.
Mengenai prestasi bank Islam di Asia Selatan dan Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia dan Bangladesh, Li berpandangan bahawa ia hampir sama dengan prestasi di negara-negara Majlis Kerjasama Teluk, yang sekali gus menjadikannya kekal berdaya tahan di tengah-tengah penularan pandemik COVID-19.
Moody's berkata keadaan operasi yang bertambah baik dan ciri-ciri strukturnya akan membantu bank Islam mengharungi impak pandemik dengan kualiti aset yang kekal stabil disebabkan oleh toleransi kawal selia dan tumpuan mereka kepada pembiayaan runcit.
Agensi penarafan itu berkata keuntungan juga bertambah baik sebahagiannya disebabkan oleh permintaan kukuh terhadap kewangan Islam, namun tidak akan kembali ke paras sebelum pandemik pada 2021 berikutan kadar rendah dan keperluan peruntukan tinggi.
Menurut Moody's, modal dan mudah tunai bank Islam kekal melepasi keperluan kawal selia dan menjangkakan lebih banyak bank akan bergabung dan menjadi lebih kompetitif.
Li berpendapat, persekitaran operasi bank-bank di Asia Selatan dan Asia Tenggara adalah bertambah baik berikutan pelaksanaan usaha pemberian vaksin yang membolehkan pembukaan semula ekonomi.
Menurutnya, kualiti aset bank-bank Islam di Malaysia, Indonesia dan Bangladesh juga semakin stabil berikutan pengawalseliaan, malah dijangka kekal sedemikian bagi tempoh 2021 dan 2022.
"Sepertimana negara-negara GCC, kami melihat bank-bank Islam di Malaysia dan Indonesia lebih banyak mengendalikan pembiayaan runcit berbanding bank-bank konvensional.
"Ini akan meningkatkan ketahanan dari segi impak akibat COVID-19 berikutan keadaan sebelum ini yang membuktikan bahawa prestasi kualiti aset pembiayaan runcit adalah lebih baik berbanding pasaran pembiayaan bukan runcit.
"Keadaan itu lebih ketara di pasaran seperti Indonesia dan Malaysia yang mempunyai biro kredit dan peraturan lebih maju membabitkan pinjaman pengguna. Malah, sebahagian besar daripada pembiayaan runcit ini dijamin oleh hartanah kediaman," katanya.
Mengulas aspek keuntungan, beliau berkata bank-bank Islam di Indonesia dan Bangladesh dijangka kekal rendah berbanding bank-bank konvensional kerana mempunyai francais yang lebih sederhana dalam pasaran yang agak pelbagai.
Prestasi bank-bank di Malaysia sebaliknya akan kekal setanding dengan bank-bank konvensional berikutan kedudukannya yang agak dominan dalam pasaran domestik.
Moody's juga menyifatkan bank-bank Islam di Malaysia dan Indonesia mempunyai modal dan mudah tunai yang baik serta setanding dengan bank-bank konvensional.
Bagaimanapun bagi Bangladesh, keadaan itu lebih kecil berikutan kekangan pertumbuhan dan instrumen mudah tunai patuh Syariahnya yang lebih terhad.
Selain itu, merujuk kepada senario konsolidasi di Malaysia, Li berkata usaha penggabungan terakhir pada 2018 dan sebarang langkah sedemikian di pasaran ini akan bergantung kepada hala tuju strategik bank-bank Islam yang bercirikan kendiri, dengan syarat bank-bank Islam terbesar di Malaysia merupakan subsidiari bank-bank domestik yang besar.
-- BERNAMA
#bank malaysia #permodalan yang baik #Moody's #penarafan
;