Bank Malaysia boleh harungi situasi lebih sukar tahun ini - S&P Global

Bernama
April 11, 2023 04:49 MYT
Sektor perbankan Malaysia diklasifikasi dalam 'Kumpulan 4' di bawah BICRA dengan aliran risiko ekonomi dan industri diberikan penarafan 'stabil'. - Gambar hiasan/REUTERS
Bank-bank Malaysia boleh mengharungi keadaan yang lebih sukar tahun ini walaupun dalam situasi kelembapan kadar pertumbuhan negara dan minat pinjaman yang lebih suram, menurut SP Global Ratings.
Berdasarkan laporan 'Malaysian Banks Outlook 2023: Prepared For Tougher Conditions', agensi penarafan itu menjelaskan kenaikan kadar faedah dan kos pendanaan yang lebih tinggi akan menjejaskan permintaan kredit di Malaysia.
Ia mengklasifikasikan sektor perbankan Malaysia dalam 'Kumpulan 4' di bawah Penilaian Risiko Negara Industri Perbankan (BICRA) dengan aliran risiko ekonomi dan industri diberikan penarafan 'stabil'.
Agensi penarafan itu menambah ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang sebanyak 3.2 peratus pada 2023, penyusutan yang besar berbanding pemulihan pascapandemik yang kukuh sebanyak 8.7 peratus pada 2022.
"Kelembapan ekonomi global dan kadar faedah lebih tinggi merupakan faktor utama yang mendorong ekonomi lebih perlahan," tambahnya.
Agensi itu turut berpandangan pulangan aset bagi seluruh sektor boleh kekal mendatar pada 1.4 peratus tahun ini, kerana jangkaan penurunan margin faedah bersih akan diimbangi oleh normalisasi kadar cukai.
Anand berkata keadaan yang lebih teruk adalah negatif untuk kualiti aset.
"Walau bagaimanapun, penyusutan sederhana dijangka boleh urus memandangkan lembaran imbangan korporat dan isi rumah kekal teguh," katanya.
Agensi itu juga menekankan isi rumah berpendapatan rendah serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan rentan terhadap peningkatan kos.
Walau bagaimanapun, penampan peruntukan bank yang mencukupi dijangka membantu mereka menyerap risiko kredit yang meningkat.
"Deposit isi rumah yang ketara menambah kestabilan pada profil pendanaan bank-bank Malaysia, dengan portfolio pelaburan membentuk kira-kira 20 peratus daripada jumlah aset (manakala) separuh daripada pendedahan adalah dalam sekuriti kerajaan yang selamat," tambahnya.
Anand berkata permodalan yang baik dan asas deposit runcit yang stabil adalah kekuatan kredit utama bagi bank-bank Malaysia.
-- BERNAMA
#Malaysian Banks Outlook 2023 #bank malaysia #permintaan kredit #pertumbuhan ekonomi Malaysia
;