Bank Islam menangi anugerah 'Bank ESG Islam Terbaik'
Bernama
Julai 13, 2017 07:34 MYT
Julai 13, 2017 07:34 MYT
Bank Islam Malaysia Bhd memenangi 'Bank Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Islam Terbaik' pada Anugerah Kewangan Islam Asset Triple A 2017 baru-baru ini di sini.
Dalam kenyataan pada Khamis, Bank Islam berkata menjadi yang pertama dianugerahkan oleh The Asset Publication, anugerah itu menekankan komponen ESG yang berpandukan kepada prinsip syariah.
"Satu penghormatan yang besar untuk diiktiraf oleh The Asset untuk tugas yang kami lakukan, dan bagaimana kami memastikan apa yang kami lakukan sentiasa betul oleh pihak berkepentingan kami dan memberi manfaat yang besar kepada mereka," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairul Kamarudin.
Bank itu berkata anugerah tersebut mencerminkan komitmennya ke arah menjadi entiti kewangan yang bertanggungjawab, selain mempertahankan tanggungjawab sosial dan alam sekitarnya.
"Antara lain, bank menyokong projek infrastruktur yang melibatkan perancangan dan mendapatkan sumber yang mampan bagi negara, seperti perniagaan pengurusan sisa yang mesra alam.
"Ia turut menyediakan pembiayaan hijau kepada projek yang layak seperti hidroelektrik dan ladang solar" katanya.
Bank itu turut memenangi anugerah 'Best Islamic Fintech Deal' bagi pembiayaan Koperasi Kakitangan Kumpulan BIMB Holdings Malaysia Bhd.
Anugerah Kewangan Islam Asset Triple A, anjuran The Asset publication, adalah antara anugerah utama bagi industri kewangan Kewangan Islam di Asia.
Anugerah tersebut, dengan pendekatan yang teliti dalam memilih transaksi dan firma dan bank Islam terbaik di pelbagai negara Asia, kekal sebagai penanda aras dalam industri tersebut.
-- BERNAMA