Bank Islam laksana program bantuan untuk pelanggan terjejas banjir

Bernama
Januari 2, 2015 17:39 MYT
Pembayaran ansuran bagi produk Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Kenderaan-i dan Pembiayaan Rumah-i boleh ditangguh sehingga enam bulan.
Bank Islam Malaysia Bhd menawarkan penangguhan sehingga enam bulan pembayaran ansuran produk pembiayaannya kepada pelanggan yang terjejas banjir.
Produk pembiayaan itu termasuk pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Kenderaan-i dan Pembiayaan Rumah-i, kata Bank Islam dalam satu kenyataan.
Bantuan itu ditawarkan menerusi Program Prihatin, yang bermatlamat untuk mengurangkan beban kewangan para pelanggan, selain menyokong mereka melaksanakan kemudahan perbankan semasa kecemasan.
Menerusi program itu, Bank Islam juga tidak mengenakan yuran permohonan untuk menggantikan kad debit dan buku akaun Bank Islam.
"Pelanggan yang terjejas boleh memohon pelepasan pembayaran yuran ganti rugi (ta'widh) bagi tempoh dari 5 Dis, 2014 hingga tarikh penyerahan permohonan.
"Kami menyedari pengalaman sukar yang dilalui para pelanggan tatkala mereka bertungkus-lumus untuk membina semula kehidupan.
"Kami berharap program ini dapat mengurangkan perasaan bimbang mereka atas komitmen kewangan pada waktu yang sangat mencabar ini," kata Pengarah Urusannya Datuk Seri Zukri Samat said.
Pelanggan boleh menghubungi Pusat Panggilan Bank Islam di 03-26900900 untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Program Prihatin.
Untuk pertanyaan dan permohonan penangguhan pembayaran ansuran bulanan bagi perkhidmatan kewangan dan pelepasan bayaran yuran ganti rugi, pelanggan boleh menghubungi talian 03-26900922.
#Bank Islam #mangsa banjir #pembayaran ansuran
;