Bank Dunia unjur pertumbuhan Malaysia 4.7 peratus tahun ini

Bernama
Disember 5, 2015 08:00 MYT
Malaysia masih perlu menambah baik prestasi sektor awam, meningkatkan pembangunan modal insan dan memacu semula pertumbuhan ekonominya bagi membolehkan negara itu menangani persekitaran global yang tidak menentu.
Bank Dunia mengunjurkan Malaysia mencatat pertumbuhan 4.7 peratus tahun ini diikuti hampir 4.2 peratus pada 2016 dan meningkat semula pada 2017.
Ketua Pakar Ekonomi Bank Dunia Bagi Rantau Asia Timur dan Asia Pasifik, Sudhir Shetty berkata, biarpun dasar semasa Malaysia menjadi asas yang baik, ia masih perlu menambah baik prestasi sektor awam, meningkatkan pembangunan modal insan dan memacu semula pertumbuhan ekonominya bagi membolehkan negara itu menangani persekitaran global yang tidak menentu.
"Rancangan Malaysia Ke-11 sememangnya besar tetapi usaha mencapai matlamatnya akan menjadi cabaran berikutan ketidaktentuan global.
"Pembaharuan struktur perlu dilaksanakan bagi meningkatkan prospek pembangunan jangka sederhana," katanya kepada wartawan di luar Sidang Kemuncak Ekonomi Asia Ke-10, di sini, Jumaat.
Beliau sebelum itu membentangkan kertas kerja bertajuk 'Navigating the Global Uncertainties:Challenges and Opportunities for Malaysia' (Mengemudi Ketidaktentuan Global:Cabarang dan Peluang di Malaysia) pada forum anjuran Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI).
Mengulas lanjut, Shetty turut menyifatkan Malaysia melalui proses pelarasan berikutan harga komoditi lebih rendah.
"Bagi jangka panjang, Malaysia perlu menangani isu struktur seperti pendidikan dan kemahiran, prestasi sektor awam dan meningkatkan sektor perkhidmatan," katanya.
Menurutnya, bagi meningkatkan pendapatan dalam jangka masa pendek, kerajaan perlu mengurangkan cukai korporat, mengehadkan pengecualian cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta meningkatkan asas cukai pendapatan individu.
Selain itu, beliau turut menyifatkan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan membawa lebih banyak manfaat untuk Malaysia.
Mengulas penurunan ringgit, katanya, ia ternyata membantu ekonomi Malaysia untuk diselaraskan sejajar dengan penurunan harga komoditi.
#Bank Dunia #GST #harga komoditi #Pakar Ekonomi #RMK11 #Sudhir Shetty #TPP #TPPA
;