Bank Dunia semak naik unjuran KDNK Malaysia 2017 kepada 5.8%

Agensi
Disember 14, 2017 12:37 MYT
Perbelanjaan modal turut meningkat susulan pelaburan awam dan swasta yang tumbuh pesat, kata bank itu - Foto AstroAWANI
Bank Dunia menyemak naik unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia 2017 kepada 5.8 peratus, unjuran pengembangan terbesar tahunan sejak 2014.
Ini akan dipacu pengembangan positif permintaan domestik dan pasaran buruh yang bertambah baik, kata bank itu pada Khamis.
Bank Dunia sebelum ini mengunjurkan pertumbuhan 5.2 peratus pada Oktober, dan ini merupakan semakan kali ketiga terhadap unjuran pertumbuhan Malaysia tahun ini.
Momentum itu dijangka berterusan sehingga tahun hadapan dengan kadar pertumbuhan sekitar 5.2 peratus bagi 2018, menurut laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia oleh Bank Dunia.
“Pertumbuhan pantas itu dipacu pengukuhan permintaan domestik, keadaan pasaran buruh yang bertambah baik, dan pertumbuhan gaji, termasuk permintaan luaran yang bertambah baik bagi produk buatan Malaysia dan eksport komoditi,” menurut laporan itu.
Perbelanjaan modal turut meningkat susulan pelaburan awam dan swasta yang tumbuh pesat, kata bank itu.
Bank Dunia berkata kadar pertumbuhan lebih kukuh di kebanyakkan negara Asia Tenggara telah membawa kepada reformasi struktur, meningkatkan produktiviti dan menyelesaikan cabaran pasaran.
Reformasi melalui beberapa dasar itu akan membolehkan akses kepada pekerjaan berpendapatan tinggi dan pertumbuhan gaji sebenar bagi isi rumah berpendapatan rendah, kata bank itu.
Bank Dunia pada Oktober meningkatkan unjuran pertumbuhan terhadap Malaysia dan Thailand kepada unjuran lebih positif, namun memotong unjuran bagi beberapa negara lain di rantau ini termasuk Myanmar dan Filipina.
#Asia #Bank Dunia #ekonomi #Filipina #isi rumah #Malaysia #Myanmar #pekerjaan perpendapatan tinggi #pelaburan #pelaburan awam #pelaburan swasta #permintaan domestik #Thailand #unjuran ekonomi malaysia #World Bank
;