Bank Dunia lulus pinjaman US$750 juta untuk tingkatkan pemulihan Filipina
Bernama
Jun 29, 2024 20:17 MYT
Jun 29, 2024 20:17 MYT
MANILA: Bank Dunia pada Sabtu mengumumkan kelulusan pinjaman US$750 juta bagi mengukuhkan pemulihan ekonomi Filipina, lapor Xinhua.
Pinjaman Dasar Pembangunan Pemulihan Mampan Kedua Filipina menyokong pembaharuan yang meningkatkan pelaburan dalam sektor perkhidmatan awam, menarik pelaburan swasta khususnya dalam perkapalan domestik, menggalakkan tenaga boleh diperbaharui, melindungi alam sekitar dan meningkatkan daya tahan iklim.
Pakar Ekonomi Kanan Bank Dunia Ralph van Doorn berkata ekonomi Filipina kekal berdaya tahan walaupun menghadapi cabaran global dan domestik.
"Pembaharuan yang disokong oleh program pemberian pinjaman ini, jika dilaksanakan akan menggalakkan pelaburan swasta, inovasi dan pertumbuhan yang mampan," katanya.
Melalui pembaharuan ini, Van Doorn berkata Filipina boleh beralih lebih cepat kepada ekonomi yang lebih hijau dan mencapai objektif alam sekitar dan iklimnya.
Pinjaman itu juga menyokong pembaharuan yang bertujuan untuk meningkatkan pengurangan sisa plastik, pemulihan dan kitar semula, menggalakkan pengangkutan hijau dan menggalakkan pengeluaran serta penggunaan barangan dan perkhidmatan mesra alam melalui perolehan awam.
-- BERNAMA