Bank digital jadikan industri perbankan semakin kompetitif
Dagang News
September 14, 2022 08:30 MYT
September 14, 2022 08:30 MYT
KUALA LUMPUR: Industri perbankan Malaysia dilihat semakin kompetitif pada masa hadapan terutama dengan penyertaan dalam perbankan digital dengan pengeluaran lima lesen oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Pengerusi Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) Tan Sri Azman Hashim berkata, kewangan sosial juga bersedia untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam industri, melengkapkan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) melalui potensinya untuk menyepadukan keterangkuman ke dalam ekosistem kewangan negara.
Sejajar dengan perkembangan sektor kewangan, katanya, kemahiran dan pekerjaan juga akan berubah, menjadikannya penting bagi negara untuk mempunyai tenaga kerja yang tangkas dan boleh menyesuaikan diri, berkemahiran tinggi, dan mempunyai pemahaman tentang bidang kewangan yang bertanggungjawab dan etika yang lebih luas dan matlamat sosial perbankan, melangkaui pulangan kewangan.
"Penyelesaiannya terletak pada peningkatan kemahiran dan latihan semula menerusi pendidikan dan latihan profesional, iaitu mandat teras AICB sebagai badan profesional bagi pegawai bank di Malaysia yang telah diperkukuh dalam Pelan Sektor Kewangan 2022–2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Perbankan Malaysia yang julung kali diadakan semalam yang turut dihadiri Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz.
Persidangan itu dianjurkan AICB dan Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dihadiri lebih 30 peneraju industri dan pakar kelestarian terkemuka daripada sektor perbankan, tenaga, minyak dan gas serta perladangan.
Menurut Azman, setiap pengamal kewangan perlu mengembangkan pengetahuan mereka tentang kewangan hijau dan kemampanan ke tahap yang setara dengan peranan dan organisasi mereka.
"Dalam merealisasikan aspirasi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), terdapat keperluan yang mendesak untuk mempertingkatkan kapasiti dan kepakaran dalam kewangan hijau," tambahnya.
Sementara itu, Pengerusi ABM, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, ESG dan perubahan iklim tidak lagi dilihat sebagai isu yang remeh pada Selasa.
Malah, katanya, isu ini telah menjadi tumpuan utama bagi negara-negara membangun dan kini dilihat sebagai agenda penting bagi sektor perkhidmatan kewangan Malaysia.
"Bank-bank mengiktiraf kepentingan ESG dan usaha menguruskan pelbagai risiko berkaitan iklim serta peranan penting yang boleh kita mainkan dalam mencorakkan naratif ini.
"Sebagai pengantara kewangan, kita juga mahu memastikan rangkuman sosial dan kewangan serta
pertumbuhan masa hadapan yang mampan untuk semua," katanya. - DagangNews.com