Bank dalam keadaan baik, catat untung di sebalik pandemik - Tengku Zafrul

Astro Awani
September 14, 2021 17:02 MYT
Menurut Tengku Zafrul, bank-bank di Malaysia berada dalam keadaan baik dengan penampan modal yang kukuh ditambah pula keuntungan yang dicatat pada tahun lepas. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bank-bank di Malaysia berada dalam keadaan baik dengan penampan modal yang kukuh malah mencatat keuntungan pada tahun lepas.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata demikian ketika ditanya pendapat beliau berhubung keadaan dan prestasi bank di Malaysia susulan pandemik yang menyerang negara.
Tegasnya, beliau tidak bimbang dengan keadaan bank-bank di Malaysia kerana semuanya menunjukkan prestasi keseluruhan lebih baik tahun ini berbanding tahun sebelumnya dari segi keuntungan.
“Bank-bank Malaysia baru-baru ini mengumumkan keuntungan mereka. Mereka mempunyai penampan modal yang kuat.
“Sebenarnya menjadi cabaran buat saya untuk menerangkan kekuatan bank kepada orang ramai kerana syarikat-syarikat sedang bergelut dan kami mahu bank untuk lebih banyak membantu.
“Bank sebenarnya telah mengumumkan keuntungan yang lebih tinggi daripada tahun lalu, misalnya. Ini menunjukkan kekuatan bank Malaysia dan ia penting agar bank dapat memainkan peranan utama dalam pemulihan ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temu bual stesen televisyen antarabangsa, CNBC pada Selasa.
Tambah beliau, sokongan kepada ekonomi tetap perlu diteruskan selepas ini meskipun ketika ekonomi sudah pulih dan Malaysia tidak boleh tarik sokongan terlalu awal.
“Kita belajar dari masa lalu, terutama yang terjadi pada krisis 2008 dan 2009, krisis kewangan global.
“Kita dapat melihat beberapa negara benar-benar menarik sokongan terlalu awal dan ini memberi kesan jangka panjang kepada ekonomi mereka.
“Penting pada tahun 2022 untuk mempunyai tahun yang mengembangkan fiskal untuk Malaysia, oleh sebab itulah kita pergi ke Parlimen (untuk membentangkan usul),” ujarnya.
#Tengku Zafrul #bank catat untung #COVID-19 #prestasi bank
;