Bank-bank sambut baik ciri-ciri progresif dalam Belanjawan 2024

Bernama
Oktober 13, 2023 06:00 MYT
Antara lain, Hong Leong Bank menyambut baik pelan terperinci yang digariskan dalam Belanjawan 2024, melibatkan kebajikan rakyat serta meningkatkan ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: OCBC Bank (Malaysia) Bhd menyambut baik Belanjawan 2024 sebagai progresif, membina sebuah negara yang makmur dan memastikan kemampanan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Chor Sen dalam satu kenyataan semalam berkata inisiatif kerajaan yang berpandangan jauh dalam mencapai cita-cita Ekonomi MADANI dan ia adalah seiring dengan temanya 'Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat'.
"Langkah membina Malaysia yang lebih baik dengan meletakkan negara sebagai peneraju dalam ekonomi Asia Tenggara dengan menyokong syarikat baharu dan menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab perindustrian digital sangat dialu-alukan.
"Usaha ini akan mengubah negara daripada berorientasikan buruh kepada ekonomi yang diterajui inovasi," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia Mak Joon Nien memuji hasrat kerajaan untuk mengukuhkan keadaan fiskal melalui pelaksanaan subsidi bersasar dan langkah-langkah peningkatan hasil selain memastikan ia hanya memberi manfaat kepada kumpulan yang layak.
"Penyaluran sebahagian daripada penjimatan subsidi kepada Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan meringankan lagi beban segmen pendapatan 40 peratus (B40) terbawah. Defisit fiskal yang lebih rendah yang dicapai melalui kedua-dua langkah perbelanjaan hasil dan subsidi akan membantu meletakkan asas untuk masa depan fiskal yang lebih mampan," katanya.
Mak juga percaya bahawa langkah pembaharuan cukai seperti menaikkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada lapan peratus daripada enam sebelum ini tidak termasuk industri makanan dan minuman dan telekomunikasi serta memperkenalkan cukai barangan mewah (LGT) akan menyumbang secara positif kepada pendapatan Malaysia.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hong Leong Bank Kevin Lam pula memberitahu Hong Leong Bank menyambut baik pelan terperinci yang digariskan, ia melibatkan kebajikan rakyat serta meningkatkan ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
-- BERNAMA
#Belanjawan 2024 #ekonomi madani #bank #subsidi bersasar
;