Bank-bank Islam tidak lagi diperlukan kekalkan dana rizab
Bernama
Mei 3, 2017 07:37 MYT
Mei 3, 2017 07:37 MYT
Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan bank-bank Islam tidak lagi diperlukan untuk mengekalkan dana rizab berkuatkuasa 3 Mei, 2017.
Bank-bank Islam dijangka melaksanakan pendekatan berhemat sebelum menyerahkan permohonan untuk mengagihkan rizab sebagai dividen, umum bank pusat itu di laman webnya.
"BNM ingin memaklumkan dalam mempertimbangkan permohonan dividen, bank perlu menimbang, antara lainnya, keupayaan bank Islam untuk mematuhi secara berperingkat penampan pemuliharaan modal dan sebarang penampan lain yang bank itu boleh tentukan," kata bank pusat.
Dasar itu diperkenalkan bagi memastikan institusi perbankan mengekalkan saiz minimum modal untuk mengendalikan dan melaksanakan fungsi pengantaraannya dengan efektif.
Bagaimanapun, keperluan itu tidak lagi relevan memandangkan pelaksanaan penampan pemuliharaan modal di bawah rangka kerja kecukupan modal, jelas BNM.
-- BERNAMA