Bank-bank di Malaysia sedia beralih ke perbankan digital - Kajian Backbase
Dagang News
Oktober 6, 2021 22:30 MYT
Oktober 6, 2021 22:30 MYT
KUALA LUMPUR: Kajian Backbase yang ditugaskan kepada Forrester Consulting mendapati sebanyak 64% daripada para pembuat keputusan dalam perniagaan perbankan runcit Malaysia menyatakan syarikat mereka sedang meningkatkan perbelanjaan ke atas inisiatif-inisiatif kesejahteraan kewangan digital.
Ini adalah peratusan tertinggi di rantau Asia Pasifik, malah lebih tinggi daripada Singapura, Jepun dan Australia.
Perkembangan ini menyusuli aktiviti permohonan lesen perbankan digital yang kini telah ditutup Jun lalu.
Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengumumkan 5 pemohon yang layak pada suku pertama 2022.
Oleh demikian, sektor perbankan runcit di Malaysia kini sedang membuat persiapan untuk menghadapi persaingan dengan menawarkan pelbagai khidmat digital yang baharu buat para pelanggan.
Naib Presiden Serantau di Asia Pasifik bagi Backbase, Iman Ghodosi berkata, tempoh 6 bulan akan datang merupakan detik kritikal dalam arena perbankan digital.
Katanya, aspek kesegeraan dan fokus adalah jelas, dengan Malaysia akan memiliki 5 bank digital yang bakal mengubah landskap perbankan serta mengambil alih pegangan pasaran pada tahun hadapan.
"Dalam hal ini, bank-bank konvensional sedang dibelenggu dengan kenyataan ini. Tambahan pula, rakyat Malaysia mahukan kualiti khidmat pelanggan dan fleksibiliti yang lebih tinggi bagi perkhidmatan kewangan.
"Bank-bank konvensional mungkin akan kehilangan daya saing jika mereka gagal menginovasi dalam kadar segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Backbase dimungkinkan oleh Backbase Engagement Banking Platform yang memperkasakan segala segmen perniagaan dalam sebuah platform, termasuk Peruncitan, PKS & Korporat, dan Pengurusan Kekayaan.
Sementara itu, Ghodosi menyifatkan peluang bagi bank untuk membangunkan khidmat digital masih terbuka dan laporan terkini merungkaikan bahawa warga Malaysia amat memerlukan perkhidmatan seumpamanya.
Sebagai contoh, katanya, 67% pengguna yang telah ditinjau menyatakan mereka pernah menggunakan aplikasi mudah alih bank mereka, 87% menyatakan mereka menghargai aplikasi mudah alih yang mantap daripada pembekal perkhidmatan kewangan dan 82% menjalankan aktiviti perbankan harian mereka melalui telefon pintar.
"Sektor perbankan runcit di Malaysia sedang menangani permintaan pengguna masa kini dan memastikan bank masih mampu bersaing di pentas digital dengan anggota-anggota yang baharu," katanya.
Bagaimanapun, menurutnya, cabaran yang dihadapi oleh bank-bank Malaysia adalah antara terbesar di rantau Asia Pasifik.
Daripada golongan pembuat keputusan dalam perniagaan perbankan runcit di Malaysia, didapati 74% menyatakan bahawa kekurangan pemahaman mengenai keperluan pelanggan masa kini dan hasil yang ingin dikecapi menjadi halangan bagi syarikat mereka untuk melaksanakan atau melanjutkan lagi pembangunan alatan pengurusan wang digital
Selain itu, 66% menyatakan teknologi legasi yang sudah ditelan zaman membatasi pelan mereka dan 64% pula berpendapat kewujudan pelbagai cabang organisasi yang terasing menyukarkan lagi keadaan.
"Sektor perbankan di seluruh dunia perlu berhadapan dengan cabaran, namun, apa yang menghairankan ialah cabaran yang dihadapi di Malaysia adalah lebih tinggi daripada purata,” tambahnya.
Ghodosi berkata, berdasarkan kajiannya, ia menunjukkan aplikasi pengurusan wang digital titik penting antara institusi dan pelanggan pada masa kini. - DagangNews.com