Banjir: Petronas sumbang peralatan pembersihan RM1.1 juta kepada Kerajaan Selangor
Dagang News
Januari 7, 2022 08:45 MYT
Januari 7, 2022 08:45 MYT
KUALA LUMPUR: Petronas menyerahkan sebanyak 1,000 unit silinder gas memasak dan peralatan pembersihan bernilai RM1.1 juta kepada Kerajaan Selangor bagi membantu mangsa banjir di negeri itu.
Naib Presiden Pemasaran, Perniagaan Hiliran Petronas, Ahmad Adly Alias berkata, sumbangan tersebut bertujuan membantu mangsa banjir yang banyak kehilangan tempat tinggal.
“Kami gembira dapat menghulurkan bantuan. Bekerjasama dengan kerajaan negeri akan membolehkan pengagihan sumbangan yang berkesan kepada isi rumah yang terjejas," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bantuan tersebut diserahkan kepada kerajaan negeri melalui Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor hari ini.
Sumbangan itu merupakan sebahagian daripada ikrar Petronas, iaitu sebanyak RM25 juta bantuan banjir diserahkan di beberapa kawasan terjejas.
Tambah Ahmad Adly, kerjasama tersebut juga memudahkan perkhidmatan pembersihan di kawasan terjejas teruk, termasuk di Klang, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang, yang akan dibawa keluar oleh Pengurusan Sisa KDEB. - DagangNews.com