Bandar pintar Bertam dijangka berpotensi kurangkan 69.7 peratus tenaga dan pelepasan karbon

Bernama
Februari 26, 2023 05:00 MYT
AHMAD ZAKIYUDDIN: Sebanyak empat buah bangunan di Daerah Bertam dipilih untuk pelaksanaan projek ini. - Foto BERNAMA
BUTTERWORTH: Projek Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam mentrasformasikan Bandar Bertam sebagai bandar tenaga pintar, dijangka berpotensi untuk mengurangkan tenaga dan pelepasan karbon sebanyak 69.7 peratus.
Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, Universiti Kebangsaan Malaysia menerusi Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI) dan UKM Pakarunding dengan kerjasama Jinko Solar Technology Sdn Bhd telah mengorak langkah dalam membangunkan bandar pintar tenaga ini.
"Sebanyak empat buah bangunan di Daerah Bertam dipilih untuk pelaksanaan projek ini, antaranya Masjid Abdullah Fahim, Hospital Kepala Batas, Institut Latihan Perindustrian Kepala Batas serta Jabatan Kerja Raya Seberang Perai Utara," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Perasmian Bandar Tenaga Pintar Bertam- Penyerahan Solar PV Sistem Kepada Pemilik Bangunan dan Persembahan 3D Digital Twin Bandar Pintar Bertam, di sini semalam.
Ahmad Zakiyuddin berkata, projek ini dengan rasminya telah disiapkan pada Ahad setelah tergendala hampir tiga tahun akibat pandemik COVID-19.
Katanya hasil simulasi menunjukkan garis pangkal penggunaan tenaga keseluruhan Bandar Bertam adalah sebanyak 928 gigawatt jam (GWh) dan pelepasan karbon sebanyak 479,123 ton karbon dioksida (CO2) setahun.
"Setelah menjalani simulasi pengurangan tenaga, Bandar Bertam berpotensi untuk mengurangkan tenaga dan pelepasan karbon sebanyak 69.7 peratus," katanya.
Beliau berkata jumlah saiz sistem Solar PV yang telah dipasang adalah sebanyak 41 "kilowatts peak (kWp)", berkemampuan menjana tenaga suria sebanyak 57,400 kilowatt jam (kWh) setahun dan pengurangan pelepasan karbon sebanyak 835 ton CO2 setahun.
Katanya transformasi ini merangkumi pendekatan holistik, iaitu dengan mengintegrasikan pemuliharaaan tenaga yang boleh diperbaharui iaitu tenaga suria.
"Projek ini adalah selaras dengan visi Penang2030 yang tertumpu pada aspek negeri hijau dan pintar selain keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan perlindungan alam sekitar," katanya.
-- BERNAMA
#Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman #Bandar Bertam #bandar tenaga pintar #Kerajaan Negeri Pulau Pinang
;