Balora Brothers optimis unjuran perolehan RM50 juta menjelang tahun 2025
Haikal Raman
Julai 11, 2022 11:30 MYT
Julai 11, 2022 11:30 MYT
JENGKA: Aspek keselamatan dalam bidang pertanian dan penternakan adalah sangat penting selain turut mempengaruhi produktiviti sesebuah projek dengan mengurangkan kerugian akibat pencerobohan dan serangan haiwan perosak.
Situasi ini sekali gus memerlukan penyertaan pemain industri baharu khususnya penyedia peralatan-peralatan pertanian dan penternakan bagi mendepani permasalahan yang berlaku.
Melihat keperluan pasaran tersebut, Balora Brothers Sdn Bhd (Balora Brothers) komited dalam menyediakan penyelesaian baginya termasuk bekalan bagi pagar cyclone, pagar elektrik, aksesori pagar, dan pagar cyclone jenama sendiri iaitu Cyclone Balora.
Ketua Pegawai Eksekutif Balora Brothers, Mohd Nizam Sharit berkata, pemilihan spesifikasi pagar yang tidak sesuai akan menyebabkan pagar mudah rosak, kendur dan tidak mampu menahan impak berterusan dari randukan atau sondolan haiwan liar yang akhirnya akan menyebabkan tanaman rosak dan haiwan ternakan terlepas keluar.
“Hadir dengan empat kategori pagar iaitu Cyclone Balora gold pro, silver pro, silver serta ekonomi kini penternak dan petani mempunyai variasi pilihan yang lebih pelbagai mengikut keperluan kawasan dan bajet masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Astro AWANI ketika ditemui di gudang Balora Agro di Jengka 6 dekat sini baru-baru ini.
Usaha dilaksanakan syarikat tersebut turut selaras dengan saranan kerajaan dalam menggalakkan pemerkasaan industri agromakanan bagi menjamin sekuriti makanan negara.
Melihat kepada peranan dimainkan, Balora Brothers yang ditubuhkan pada tahun 2020 berhasrat untuk menjadi syarikat pembekal alatan pertanian dan penternakan nombor satu di Malaysia.
Menurut Nizam, pasaran bagi produk pagar cyclone ini adalah sangat besar kerana ia masih baru dalam kalangan petani dan penternak tempatan, oleh demikian syarikat akan memperluaskan penggunaannya di seluruh negara.
“Melihat kepada rekod tersebut, syarikat optimis dengan unjuran perolehan sebanyak RM50 juta menjelang tahun 2025 didorong dengan peningkatan ejen dan stokis di seluruh negara termasuk pemasaran secara online yang lebih agresif,” jelasnya.
Melihat kejayaan dicapai oleh Balora Brothers, ia membuktikan warga Felda kini telah melangkah jauh dalam pelbagai sektor keusahawanan.
Felda ketika ini turut menzahirkan komitmen berterusan bagi menjayakan aspirasi melahirkan lebih ramai usahawan menerusi pelbagai inisiatif yang disediakan.