Bajet 2023 persiapan negara hadapi ekonomi tidak menentu tahun hadapan - Perdana Menteri

Firdaus Azil
Oktober 7, 2022 18:38 MYT
Perdana Menteri berkata, Bajet 2023 memberi tumpuan kepada seluruh warga Malaysia membabitkan semua kumpulan. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Bajet 2023 yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Bersama’, adalah antara tumpuan kerajaan untuk memastikan pemulihan ekonomi negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, Ahli Parlimen Bera itu berkata, bajet dengan peruntukan RM372.3 bilion itu juga menggariskan langkah persediaan bagi menghadapi suasana ekonomi yang tidak menentu pada tahun hadapan.
Katanya lagi, sesuai dengan tema yang ditetapkan, Bajet 2023 memberi tumpuan kepada seluruh warga Malaysia membabitkan semua kumpulan.
“Sesuai dengan tema Keluarga Malaysia Makmur Bersama, kalau kita lihat, bajet ini ini menumpukan kepada seluruh Keluarga Malaysia, sama ada B40, M40, golongan belia, wanita, golongan kurang berkeupayaan dan sebagainya.
“Terdapat peruntukan diberikan berdasarkan setiap kumpulan yang saya sebutkan tadi, malah (turut disediakan) dari segi pembangunan luar bandar, bandar dan sebagainya.
“Bajet 2023 ini juga menumpukan kepada pemulihan ekonomi, dan bagi kita membuat persediaan menghadapi keadaan ekonomi yang agak tidak menentu pada tahun depan,” katanya lagi.
#Bajet 2023 #ismail sabri yaakob #pemulihan ekonomi #ekonomi tidak menentu
;