Bajet 2023: Pendigitalan PKS pencetus perubahan

Bernama
September 7, 2022 18:43 MYT
Kumararajah berkata masalah dalam ekonomi masa kini adalah kekurangan tenaga buruh dan ini menyebabkan kerugian pendapatan berbilion ringgit dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan dan pihak swasta digesa berusaha dalam mendigitalkan operasi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi Bajet 2023 dengan tumpuan terhadap sektor pertumbuhan tinggi memandangkan pendigitalan akan menjadi pencetus perubahan, menurut Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM).
Bendahari Agung, Datuk AT Kumararajah berkata dunia digital semakin pesat,
"Tumpu kepada sektor yang mencatatkan pertumbuhan tinggi dan saya berpandangan kita akan mencapai hasilnya pada 2023," katanya mengupas tajuk Budget 2023 and SMEs dalam program The Brief yang diterbitkan Bernama TV pada Rabu.
Beliau berkata pertumbuhan 6.9 peratus pada separuh pertama 2022 dipacu terutama oleh pasaran eksport khususnya sektor elektrik dan elektronik.
"Jadi, kita perlu memperkukuh PKS dan rantaian nilai termasuk menangani kekurangan tenaga kerja, saya berpandangan kerajaan melakukan dengan cukup baik dari segi (memberi) kelulusan untuk membawa masuk 400,000 pekerja asing," katanya.
Kumararajah berkata masalah dalam ekonomi masa kini adalah kekurangan tenaga buruh dan ini menyebabkan kerugian pendapatan berbilion ringgit dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.
Beliau berkata keadaan ini perlu diredakan namun langkah membawa masuk pekerja asing kini juga berdepan masalah lain kerana terdapat inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang perlu dipatuhi dan ini memberikan tekanan lebih tinggi kepada pihak berkepentingan.
"Jadi, dalam banyak cara, Bajet 2023 mungkin menjadi asas yang kukuh bagi bidang yang kita mempunyai dasar yang kuat," katanya.
Mengenai unjuran suram oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) terhadap ekonomi global, beliau berkata hal itu sudah dipertimbangkan seawal April tahun ini.
"Ia semakin suram kerana perang Rusia-Ukraine yang berlarutan ditambah dengan inflasi tenaga dan makanan -- kedua-duanya pada dua digit -- dan tiada negara yang benar-benar pulih.
"Cabarannya kekal ada, tetapi kita berada dalam kedudukan yang sangat utuh kerana pasaran domestik kita," katanya.
IMF mengunjurkan situasi ekonomi global terus mencabar pada 2022 dan 2023 dengan peningkatan risiko kemelesetan ekonomi.
Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva turut menyifatkan ekonomi global sebagai amat tidak menentu.
Kadar inflasi akan meningkat secara ketara, menyebabkan bank-bank pusat dalam ekonomi utama mengetatkan dasar monetari masing-masing.
-- BERNAMA
#perusahaan kecil dan sederhana #Bajet 2023 #AT Kumararajah #pasaran eksport khususnya sektor elektrik dan elektronik
;