Bajet 2023: MPM harap peruntukan RM12 juta tidak 'tersekat' di tengah jalan

Raja Hisyam Raja Zaid
Oktober 8, 2022 13:28 MYT
Megat D Shahriman berkata peruntukan sebelum ini tidak sampai sepenuhnya kepada Majlis Paralimpik Malaysia (MPM). - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA : Peruntukan RM12 juta yang diumumkan kerajaan kepada Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dalam pembentangan Bajet 2023 semalam mampu meningkatkan lagi program pembangunan akar umbi bagi atlet kelainan upaya (OKU).
Presidennya Datuk Seri Megat D.Shahriman Zaharuddin menjelaskan, peruntukan yang ditambah RM2 juta berbanding 2022 itu diharap mampu menyelesaikan masalah serta kekangan yang dihadapi oleh persatuan-persatuan yang bernaung di bawah MPM dalam merealisasikan semua program-program yang dirancang tahun depan.
"Pada tahun lepas RM10 juta dan tahun ini RM12 juta dan saya berharap peruntukkan itu diberi khusus kepada Majlis Paralimpik Malaysia untuk digunakan kepada 27 persatuan di bawah naungan MPM dimana program pembangunan akar umbi dibuat oleh persatuan-persatuan itu sendiri.
"Jadi saya harap duit itu sampailah kepada persatuan-persatuan dan diharap tidak ada kekangan untuk persatuan yang berada di bawah MPM ini untuk bergerak ke seluruh negara.
"Pada pandangan kami ialah peruntukan yang telah diluluskan oleh kerajaan ini adalah disebabkan kita perlu buat (program) ini kerana kita mempunyai data-data dan ahli-ahli dalam sukan," katanya kepada media ketika hadir pada program Hari Sukan Negara 2022 (HSN2022) Malaysia di sini hari ini.
Katanya lagi ia adalah penting memandangkan program pembangunan yang dijalankan meliputi keseluruhan peringkat awal bakat atlet paralimpik seawal sekolah rendah untuk mencungkil bakat-bakat baharu.
Ketika ini katanya MPM masih lagi giat menjalankan program-program di peringkat akar umbi dalam usaha mencungkil bakat-bakat baharu di seluruh negara membabitkan semua persatuan yang bernaung di bawah MPM.
Ini katanya akan menentukan kualiti pelapis-pelapis sukan paralimpik negara untuk diketengahkan bagi menggantikan atlet paralimpik yang sedia ada ketika ini.
SEGALANYA MENGENAI BAJET 2023, KLIK DI SINI!
Beliau juga mendakwa peruntukan yang diumumkan dalam bajet sebelum ini tidak sepenuhnya sampai kepada MPM seperti yang sepatutnya menyebabkan ada beberapa inisiatif program yang dijalankan tidak dapat dilaksanakan dengan baik.
"Secara telusnya saya mungkin boleh katakan bahwaa 20 hingga 30 peratus sahaja yang sampai (peruntukan bajet sebelum ini). Itu yang sebelum ini bila persatuan ingin buat scouting (pemantauan pencarian bakat baharu) mempunyai kekangan kewangan. Sebab kita perlu ambil budak-budak (OKU) yang ada bakat ini kita perlu wang yang banyak," katanya lagi.
Tambahnya program-program yang dijalankan oleh persatuan-persatuan di setiap negeri adalah berbeza dengan pendekatan program yang dijalankan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dalam mendekati bakat-bakat baharu yang akan diketengahkan.
Malah kontinjen atlet paralimpik negara sebelum ini telah membuktikan keupayaan mereka dalam beberapa siri temasya sukan antarabangsa dengan merangkul pingat emas untuk negara.
Justeru jelasnya adalah sesuatu yang wajar untuk kerajaan memastikan peruntukan yang dijanjikan dalam Bajet 2023 itu sampai ke kelompok sasaran yang sepatutnya kerana ia akan menentukan hala tuju dan prestasi atlet paralimpik Malaysia di pelbagai peringkat sukan antarabangsa.
Dalam Bajet 2023 yang diumumkan semalam, kerajaan mengumumkan peruntukan RM332 juta bagi melaksanakan program latihan serta fasiliti sukan negara pada 2023.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata daripada jumlah tersebut sebanyak RM12 juta yang disediakan khusus untuk pembangunan sukan Orang Kurang Upaya (OKU).
#Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz #Majlis Sukan Negara #Bajet 2023 #OKU
;