Bajet 2023: Literasi kewangan dalam kalangan rakyat wajar diberi perhatian khusus

Ehsan A Marisah
Oktober 6, 2022 10:50 MYT
Wan Dazriq berkata, insentif yang bakal diterima sektor kewangan juga perlu lebih meluas bukan sahaja kepada pemilik perniagaan, malah pelabur runcit. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran untuk mempertingkat dan memperkukuh literasi kewangan dalam kalangan rakyat bermula daripada akar umbi dengan memperuntukkan inisiatif sewajarnya dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 7 Oktober ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Ethis Malaysia, Wan Dazriq Wan Zulkiflee, fokus celik kewangan berkenaan dapat direalisasikan sekiranya inisiatif yang bakal disediakan memfokuskan kepada melahirkan masyarakat yang berasaskan nilai serta memenuhi keperluan ekonomi dan sosial masa ini.
“Hal ini demikian kerana, (literasi kewangan) bukan sahaja untuk golongan belia, malah golongan dewasa yang mana ramai sedia maklum kita menuju negara menua pada 2030 dan pastinya banyak perbincangan tertumpu tentang simpanan, persaraan dan isu-isu berkaitan.
BACA: KPWKM terajui perancangan dasar Malaysia hadapi status negara tua menjelang 2030
“Justeru, bajet kali ini perlu memfokuskan kepada inisiatif berasaskan nilai berbanding bajet-bajet terdahulu yang hanya berasaskan 'output' semata-mata, seperti mana mencipta 5,000 usahawan dan melahirkan lebih banyak syarikat 'unicorn'.
“Sekiranya kita serius untuk menjadikan negara kuasa besar ekonomi pada masa depan, inisiatif berasaskan nilai perlu dipergiatkan berbanding output. Contohnya 5,000 usahawan yang dilahirkan boleh dipasarkan dan melabur di peringkat domestik serta antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Notepad with Ibrahim Sani: Budget 2023 | Empowering the financial services sector, baru-baru ini.
Notepad with Ibrahim Sani: Budget 2023 | Empowering the financial services sector
Dalam pada itu, Wan Dazriq menambah, sektor awam dan swasta juga perlu bekerjasama menyediakan latihan berbentuk insaniah selain ilmu teknikal dalam membantu masyarakat memahami trend pasaran semasa.
“Masyarakat hari ini beralih ke ekonomi gig dan mula mengadaptasi pendigitalan. Maka mereka perlu dididik dengan kemahiran insaniah serta memahami trend setiap sektor yang diceburi.
“Oleh itu, kerjasama sektor awam dan swasta dapat membantu mereka memahami sektor yang diceburi dengan lebih jelas melalui inisiatif-inisiatif tersedia, di samping membentuk bakat-bakat baharu untuk masa depan,” ujarnya.
Jelas beliau lagi, harta intelek (IP) dan penyelidikan akademik wajar dikomersialkan sebagai bahan rujukan agar setiap produk dan perkhidmatan kewangan dihasilkan pada aras terbaik untuk digunakan masyarakat.
Tambahnya, insentif yang bakal diterima sektor kewangan juga perlu lebih meluas bukan sahaja kepada pemilik perniagaan, malah pelabur runcit.
“Saya rasa adalah baik sekiranya inisiatif dalam bajet 2023 nanti merangkumi insentif yang tidak hanya tertumpu kepada pemilik perniagaan tetapi pelabur runcit jua.
“Ini bukan untuk masyarakat di bandar sahaja, sebaliknya mereka di pedalaman juga perlu diajar cara dan mempunyai ilmu atau pemikiran untuk melabur dan menyimpan.
“Ia sekali gus akan memberi manfaat kepada negara, kerana saya percaya bahawa kecenderungan untuk berbelanja atau menyimpan dalam golongan M40 dan B40 jauh lebih besar dan sekiranya kita dapat membantu mereka, ekonomi negara akan membangun,” ujarnya lagi.
#Bajet 2023 #literasi kewangan #usahawan #Wan Dazriq
;