Bajet 2023: Lebih banyak insentif dan bantuan bagi golongan B40, M40 - Pakar
Raja Hisyam Raja Zaid
Oktober 7, 2022 15:32 MYT
Oktober 7, 2022 15:32 MYT
KUALA LUMPUR: Bajet 2023 dilihat akan memberi penekanan kepada memenuhi setiap keperluan rakyat dalam menghadapi bebanan kos sara hidup yang dialami.
Menurut Pakar Ekonomi Industrial Development Finance Berhad (MIDF) Muhammad Zafri Zulkefle, ia memandangkan Bajet 2023 yang akan dibentangkan petang ini merupakan bajet terakhir sebelum pembubaran dan akan menjurus kepada mesra rakyat.
"Ini adalah penggal terakhir untuk kerajaan pada hari ini dan pilihan raya paling lewat akan diadakan pada September tahun depan. Jadi bajet kali ini adalah bajet pilihan raya. Oleh kerana ia adalah bajet pilihan raya.
"Jadi kita tidak jangka sebarang fiskal dari segi pengenalan cukai-cukai baharu yang agak sensitif yang akan menjadi peluru dalam pilihan raya nanti. Jadi berdasarkan keadaan fiskal kita menjangkakan fiskal negara akan bertambah baik didiorong oleh perkembangan ekonomi negara pada awalnya 5 peratus ke 6 peratus dan kini berlegar kepada 6 hingga 7 peratus," katanya kepada Astro AWANI.
Malah katanya, kedudukan kewangan kerajaan dijangka bertambah baik berdasarkan kadar harga pasaran semasa minyak dunia ketika ini dengan kadar defisit negara dijangka akan menurun.
Dalam masa yang sama, beliau turut menjangkakan tidak akan ada penurunan subsidi terhadap harga minyak yang akan diumumkan oleh kerajaan dalam pembentangan bajet kali ini.
Bagaimanapun, trend pengurangan subsidi oleh kerajaan berkemungkinan akan berterusan untuk tempoh masa panjang namun lebih banyak insentif dan bantuan kewangan yang mungkin akan diumumkan oleh pihak kerajaan dalam Bajet 2023.
Penumpuan bantuan, jelas Muhammad Zafri, mungkin akan difokuskan kepada golongan B40 dan M40 sebagai pilihan berbanding pengurangan subsidi yang boleh dilakukan terhadap harga minyak semasa.
Katanya, kerajaan sudah pasti tidak akan melakukan pengurangan subsidi kerana ia hanya akan mencetuskan rasa tidak senang hati dalam kalangan masyarakat yang kini dibebani isu kos sara hidup yang meningkat.
"Seperti yang kita lihat (apa yang berlaku) di Jakarta, kenaikan sebanyak 30 peratus sahaja harga minyak di sana telah membuatkan rakyat marah. Jadi saya tidak fikir dengan bajet pilihan raya ini akan buat sebegitu," jelasnya.
Tambah Muhammad Zafri, ketidakstabilan politik semasa yang berlaku di Malaysia ketika ini juga menunjukkan ia bukanlah masa yang terbaik untuk melakukan sebarang penstrukturan semula terhadap segala bentuk bantuan subsidi, atau pencukaian baharu untuk tempoh sekurang-kurangnya sehingga tahun depan.
Iklim ekonomi global dijangkakan mengalami pertumbuhan yang perlahan pada tahun hadapan, namun jelasnya, prestasi ekonomi domestik negara diramal terus berkembang berdasarkan kadar pengangguran yang rendah ketika ini.