Bajet 2023 komprehensif rangkumi semua sektor ekonomi, lapisan masyarakat - Menteri Besar

Bernama
Oktober 8, 2022 18:19 MYT
Beberapa pemimpin negeri menyifatkan Bajet 2023 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam sebagai komprehensif. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin negeri menyifatkan Bajet 2023 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam sebagai komprehensif, kerana merangkumi bukan sahaja semua sektor ekonomi malah melibatkan seluruh Keluarga Malaysia.
Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man berkata dalam bajet prihatin Keluarga Malaysia itu, terdapat banyak pemberian wang tunai untuk golongan yang memerlukan, terutama B40 dan M40.
Beliau percaya pertambahan kategori penerima bagi bantuan itu juga akan meningkatkan kuasa beli rakyat, sekali gus memberi kesan positif kepada ekonomi negara.
"Seperti bajet sebelum ini, sudah pasti ada insentif untuk negeri ini. Jika dilihat terdapat satu projek berimpak tinggi untuk rakyat Perlis, iaitu peruntukan sebanyak RM80 juta bagi membina prasarana sokongan bagi membolehkan Projek Ladang Tenusu di Chuping Agro Valley, dapat dilaksanakan.
"Projek itu kini dalam peringkat akhir untuk dimuktamadkan dan dijangka bermula pada awal tahun hadapan dengan melibatkan pelaburan kasar RM4.5 billion, selain bakal mewujudkan peluang pekerjaan kepada 2,000 orang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Sukan Negara 2022 peringkat negeri Perlis di Dataran Dato Sheikh Ahmad, Kangar hari ini.
Semalam menerusi pembentangan bajet bertemakan 'Keluarga Malaysia, Makmur Bersama' itu, kerajaan memperuntukkan RM272.3 bilion untuk perbelanjaan mengurus, RM95 bilion untuk belanja pembangunan, RM5 bilion di bawah Kumpulan Wang COVID-19 dan RM2 bilion lagi disediakan sebagai simpanan luar jangka.
Melalui peruntukan perbelanjaan pembangunan, lima wilayah koridor utama negara akan menerima peruntukan keseluruhan RM1.4 bilion, untuk melaksanakan beberapa program utama termasuk Projek Ladang Tenusu di Chuping dengan kos RM80 juta.
Selain itu, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob menyifatkan peruntukan hampir RM500 juta dalam belanjawan itu untuk projek fasa tambahan projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok (KESBAN), memberi lebih ruang menyelesaikan masalah banjir di lokasi terbabit.
"Penyelesaian kepada masalah banjir antara perkara yang sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan negeri dan kita (Kelantan) berterima kasih kerana ada peruntukan tambahan hampir RM500 juta untuk projek tebatan banjir di Rantau Panjang.
"Ini merupakan perkara yang sangat penting untuk kita laksanakan program KESBAN," katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Sukan Negara peringkat Kelantan di Kota Bharu.
BACA: Teks penuh ucapan Bajet 2023
SEGALANYA MENGENAI BAJET 2023, KLIK DI SINI!
Mengulas peruntukan RM16.5 bilion disediakan untuk sektor pengangkutan bagi melaksanakan projek infrastruktur utama termasuk Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) dari Kuala Krai ke Bentong, Pahang, Ahmad berharap ia dapat diagihkan sebaik mungkin memandangkan projek bakal memberi manfaat sosio-ekonomi.
Sementara itu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berharap Kementerian Kewangan dapat menjelaskan terperinci mengenai rancangan membangunkan bandar bersempadan Thailand dan Kalimantan, Indonesia termasuk Bukit Kayu Hitam, dalam Bajet 2023.
Katanya ini penting bagi memudahkan pembangunan diselaraskan dengan perancangan kerajaan negeri di bawah Pelan Pembangunan Kedah 2035.
Bagi inisiatif bantuan RM200 sebulan kepada pesawah padi pula, Muhammad Sanusi berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan di atas pemberian itu, mengambil kira Kedah merupakan pembekal utama beras negara yang menyumbang 43 peratus daripada keperluan nasional.
Bantuan RM200 selama tiga bulan atau semusim itu diperkenalkan semula, bagi memanfaatkan 240,000 pesawah dengan peruntukan RM228 juta.
-- BERNAMA
#Bajet 2023 #Azlan Man #Menteri Besar #Ahmad Yakob #Muhammad Sanusi Md Nor